PELUMBA Red Bull Racing, Max Verstappen mensasarkan untuk menjadi pelumba kelima dalam sejarah Formula 1 untuk memenangi kejuaraan dunia tiga kali berturut-turut menjelang musim perlumbaan F1 2023.

Bukan hanya Verstappen yang mampu mencipta rekod, Red Bull Racing juga mahu menjadi pasukan keenam muncul juara dunia pengeluar sebanyak enam kali dan pelumba Belanda itu berkongsi pandangannya tentang cabaran musim baharu ini.

Red Bull memperkenalkan jentera baharu mereka di Manhattan, New York pada Jumaat dan juga mengesahkan Ford akan menyertai juara bertahan itu sebagai pembekal enjin bermula pada musim 2026.

 

 

Pemandu berusia 25 tahun itu yang kini juara dunia dua kali masih belum memikirkan tentang kejuaraan ketiga setakat ini dan mahu bekerja keras memastikan kemampuan dan kelajuan jentera mencapai tahap yang memuaskan.

“Kami bekerja keras sebagai satu pasukan untuk memastikan kami mempunyai peluang bersaing sekali lagi dan hanya masa yang akan menentukan. Saya tidak mahu memikirkan tentang kejuaraan kerana apa yang penting adalah fokus untuk membina jentera yang kompetitif kerana jika kita mempunyai jentera kompetitif, kejuaraan akan tiba.

“Yang paling penting adalah untuk memastikan pakej keseluruhan kereta ini berjalan dengan lancar, tidak ada isu dan yang paling utama adalah pantas dan mampu memberikan kemenangan,” katanya ketika pelancaran jentera Red Bull musim 2023.

Ketika ditanya siapakah yang bakal menjadi pencabar utama Red Bull untuk musim 2023, Verstappen menamakan dua pasukan yang dilihat mampu menggugat kedudukan mereka sebagai juara bertahan namun dia percaya dengan pasukannya yang mampu memberikan pakej lengkap sekali lagi buatnya.

“Saya rasakan pada penghujung tahun lalu, kita dapat lihat kadang kala Mercedes semakin baik kadang kala tidak. Oleh itu ianya sukar untuk saya katakan kerana saya tidak berada dalam pasukan itu tetapi kita akan ketahuinya tahun ini. Jika mereka berjaya memahami apa yang mereka perlukan untuk menambah baik jentera, sudah tentu mereka akan menjadi pencabar utama kami.

“Ferrari juga dijangka akan lebih kuat tetapi sejauh mana kekuatan itu sukar untuk diramalkan tetapi mereka mempunyai pasukan dan individu yang mantap secara keseluruhan seperti yang ditunjukkan pada tahun-tahun sebelum ini.

“Namun begitu, saya yakin dengan kakitangan kami di Milton Keynes yang mereka mampu membina kereta dan enjin yang kuat dan berharap mereka akan memberikan saya pakej yang kuat dan lengkap sekali lagi musim ini,” tambahnya.

Pelumba Belanda itu mencatat rekod 15 kemenangan dengan 454 mata keseluruhan untuk muncul juara dunia 2022, kejuaraan kedua berturut-turut selepas muncul juara kali pertama dengan cukup kontroversi pada tahun 2021 di Grand Prix Abu Dhabi.