JELAJAH LPGA (Persatuan Golf Profesional Wanita) kembali menyerikan arena golf negara, dengan kehadiran Kejohanan Maybank Championship yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$3 juta (RM13.19 juta).

Kejohanan tersebut yang mendapat sokongan syarikat perkhidmatan kewangan terbesar Malaysia, Maybank itu, akan berlangsung 26 hingga 29 Oktober 2023 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Maybank Championship 2023 itu, bakal melibatkan 68 pemain golf profesional wanita, namun tetap menyediakan kuota tambahan 10 peserta khusus untuk pemain Malaysia dan Asia Tenggara.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Khairussaleh Ramli berkata, kejohanan tersebut bakal menarik penyertaan pemain terbaik dunia termasuk pemain golf sensasi wanita negara, Kelly Tan.

“Sudah tiga tahun tak ada kejohanan golf, ini sukan popular di Malaysia jadi kami Maybank membuat keputusan untuk membawa Jelajah LPGA ke Malaysia kali ini.

“LPGA adalah kejohanan bagi pemain profesional dan juga pemain terbaik di dunia. kita ingin bangunkan sukan golf di Malaysia dan memberi inspirasi buat rakyat di negara ini untuk menyaksikan perlawanan ini. Kejohanan ini melibatkan hadiah wang tunai AS$3 juta. Ini adalah satu usaha berterusan dari pihak kita.

“Menariknya untuk saingan kali ini tumpuan kita kepada LPGA kerana jika diikutkan golf wanita ini ramai pengikut sebenarnya di seluruh dunia khususnya di rantau ini, kalau kita tengok pemain yang berada di ranking teratas dunia adalah dari Asean dan juga Asia.

“Ramai pemain terkemuka dari negara-negara di rantau ini akan mengambil bahagian dan Malaysia juga mempunyai pemain terbaik seperti Kelly Tan. Kita juga akan sediakan 10 tempat untuk pemain wanita dari rantau ini dan lima daripadanya Malaysia,” katanya, pada majlis perasmian pada Selasa.

Kejohanan Maybank 2023 akan berlangsung di Lapangan Barat KLGCC dan akan menampilkan 68 pemain golf profesional dan turut mengetengahkan kebanyakan daripada 50 pemain golf wanita terbaik dunia.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut merasmikan majlis tersebut memuji usaha Maybank dengan menjalankan kerjasama dengan LPGA dalam menyokong sukan wanita sekali gus dapat menyediakan peluang kepada para pemain untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Kita boleh merapatkan jurang kesaksamaan gender antara antara lelaki dan wanita dalam sukan di negara kita dan seterusnya kita dapat  memberi tumpuan kepada beberapa bakat ulung dalam sukan ini,” ujarnya.