PERSEKUTUAN Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) mengambil tindakan signifikan apabila melantik Timbalan Presiden Mazlan Md Jail memangku tugas-tugas Presiden sehingga tamat penggal 2026.

Keputusan itu dicapai dalam satu Mesyuarat Khas Exco PKBM di Melaka, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan badan induk berbasikal negara, berjalan lancar selepas pemergian Allahyarham Datuk Abu Samah Abd Wahab 28 November lalu.

PKBM dalam satu kenyataan turut mengumumkan bahawa Naib Presiden, Datuk Amarjit Singh Gill, akan memangku tugasan Mazlan sebagai Timbalan Presiden, sehingga tempoh yang sama.

“Mesyuarat khas Exco pagi ini di Melaka sebulat suara membuat pelantikan Mazlan Md Jail sebagai pemangku presiden manakala Datuk Amarjit Singh Gill memangku jawatan timbalan presiden PKBM.

“Keputusan lain dicapai adalah kedua-duanya memangku jawatan itu sehingga tamat penggal 2026 sehingga pemilihan baharu dijalankan dan semua jawatan lain kekal,” kata PKBM dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), berterima kasih kepada barisan Exco PKBM yang memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya akan berkerjasama rapat dengan pemangku Presiden dalam memastikan transisi ini berjalan lancar demi kebaikan PKBM,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, kenyataan terbabit turut mengesahkan bahawa, ibu pejabat PKBM akan kekal beroperasi di Melaka bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Abu Samah.

“Barisan Exco terus komited untuk mencari jalan dan sumber kewangan bagi meneruskan urusan pentadbiran persatuan yang ditinggalkan Abu Samah yang selama ini menggunakan kantung sendiri untuk memastikan persekutuan itu berjalan,” kata Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Mengulas mengenai isu berkaitan, Amarjit berkata, barisan Exco juga memutuskan untuk melakukan persiapan Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan yang akan berlangsung pada Februari selain memastikan Kejohanan Berbasikal Bukit ACC berjalan lancar pada 10 hingga 12 Mei depan.