SEMANGATNYA yang sentiasa smahu berbakti kepada dunia sukan tanah air, akhirnya mendapat pengiktirafan apabila dijemput menerima anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan, pada majlis Anugerah Sukan Negara 2022, semalam.

Datuk Mazlan Ahmad, nama yang tidak asing dalam kancah sukan negara, cukup terkenal sebagai arkitek di sebalik kejayaan program Jaya ’98 dan Gemilang 2001.

Beliau yang menyumbang bakti kepada sukan sejak usia muda, dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) bermula 1993 hingga 2005.

“Saya gembira dengan anugerah ini, tapi bukan ini yang saya cari… saya dariu muda terlibat dalam sukan berbasikal kerana saya suka, sampailah saya bertugas di MSN, makan gaji dengan kerajaan untuk menyumbang kepada sukan,” kata Mazlan, selepas menerima anugerah itu.

Pada zamannya, Mazlan memperkenalkan pelbagai program ke arah penyediaan atlet cemerlang.

Untuk rekod, sebelum memasuki MSN, beliau pernah memegang jawatan penting dalam persatuan sukan kebangsaan seperti lumba basikal.

Beliau juga pernah dilantik sebagai chef-de-mission Sukan Sea 2001, adalah individu yang berani, tegas serta berpengalaman luas dalam pentadbiran sukan.

“Saya berharap, atlet kita dapat majukan diri kepada atlet yang lebih baik dari sekarang dan mengharapkan juga jurulatih dapat terus melahirkan atlet-atlet baharu,” kata Mazlan.