KYLIAN Mbappe telah kembali berlatih lebih awal daripada jadual sebelum perlawanan pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Paris St-Germain (PSG) menentang Bayern Munich awal pagi Rabu nanti.

Penyerang Perancis itu sebelum ini dijangka diketepikan selama tiga minggu selepas mengalami kecederaan paha awal bulan ini namun sebaliknya apabila dia mula menjalani latihan bersama pasukan.

“Kami belum pasti sama ada dia akan berada dalam senarai perlawanan. Dia (Mbappe) melakukan keseluruhan sesi latihan.

“Kami membuat keputusan bahawa dia akan berlatih dengan semua orang hari ini dan akan memutuskan sama ada dia bermain atau tidak selepas berbincang dengannya serta kakitangan perubatan.

Mbappe mula menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan.

“Jika dia berada dalam perlawanan, dia akan bermain,” tegas bos PSG Christophe Galtier.

Lionel Messi, yang telah menerima rawatan untuk masalah hamstring, turut disenaraikan dalam skuad PSG.

Jika Mbappe dan Messi kembali, ia akan menjadi azimat besar untuk PSG yang telah tewas dua perlawanan domestik mereka yang lalu.

Pendahulu Ligue 1 itu tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara dan PSG tahu mereka mesti meningkatkan permainan mereka untuk mengatasi Bayern, juara Eropah enam kali.

“Kami bersedia untuk pertembungan itu. Kami mempunyai pasukan untuk bermain perlawanan yang hebat.

“Saya suka bermain perlawanan besar ini menentang pasukan besar. Kami mempunyai keupayaan ini,” jelas penyerang PSG, Neymar.