MENTERI Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah menandatangani perjanjian dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi memulakan kerja-kerja fizikal dalam pembangunan Stadium Shah Alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses perobohan akan dimulakan dengan pemasangan dinding adang diikuti proses merungkai struktur sedia ada yang dijangka mengambil tempoh sehingga pertengahan tahun depan.
“Termeterailah sudah perjanjian antara MBI Selangor dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk projek pembangunan Kompleks Sukan Stadium Shah Alam. Alhamdulillah!
“Ia sekali gus menandakan permulaan kerja-kerja fizikal setelah melalui proses perancangan dan prosedur rapi,” katanya dalam kenyataan.
Dalam majlis tersebut, projek pembangunan telah dibentangkan oleh Pengurus Besar Unit Projek Khas, Datuk Ir. Ruslan Abdul Aziz dihadapan Amirudin.
Hadir sama, wakil dari MBI Selangor, Norita Mohd Sidek (Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor) dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Saipolyazan M.Yusop.
Selain itu, turut bersama-sama Datuk Dell Akbar Hyder Khan, Pengarah Lembaran Prospek Sdn. Bhd., Kwan Joon Hoe, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MRCB ; Datuk Steven Hooi, Pengarah Projek MRCB
Majlis Menandatangani Kontrak Pembangunan Stadium Shah Alam 🏟️
Termeterai lah sudah perjanjian antara MBI Selangor dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk projek pembangunan Kompleks Sukan Stadium Shah Alam. Alhamdulillah! pic.twitter.com/Ysf6brgRgX
— MBI Selangor (@MBISelangor) February 7, 2024
Amirudin berkata, pembangunan Stadium Shah Alam harus menepati segala piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu beliau menekankan kepada pihak terlibat supaya ia menjadi model yang mengguna pakai kaedah terbaik (best practices) dalam pembangunan infrastruktur terutamanya dalam sekala sebegini.
Katanya, segala langkah mitigasi untuk menangani impak pembangunan akan dimaklumkan oleh pihak pemaju kepada komuniti tempatan agar proses tersebut berjalan sebaiknya.