DATUK Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),  Mohamad Azhan Md Amir menyatakan sokongan ke atas Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia kali ke-4 yang bakal diadakan pada September hingga Oktober depan.

Mohamad Azhan juga sedia mempertimbangkan penggunaan stadium di bawah seliaan MBPJ sebagai stadium rasmi untuk digunakan dalam perlawanan separuh akhir dan kejohanan akhir bola sepak sekiranya jadual tidak bertindih dengan perlawanan Liga Malaysia.

Sokongan dan pertimbangan tersebut dinyatakan ketika Presiden Malaysian Deaf Sports Association (MSDeaf), Ong Shin Ruenn mengadakan pertemuan bersama Azhan baru-baru ini.

Melalui perkongsian di laman Facebook rasmi MSDeaf, Azhan menekankan kejohanan yang diadakan merupakan satu peluang yang baik buat negara untuk menonjolkan diri dengan menjadi penganjur terbaik sukan bola sepak pekak berikutan sukan ini yang popular di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Azhan turut menyuarakan harapan beliau untuk menyediakan dua bas milik MBPJ sebagai kegunaan sepanjang kejohanan berlangsung dan memberikan pengecualian bayaran bagi lesen pemasangan billboard, banting serta banner termasuk lesen pemasangan secara percuma.

Memandangkan kejohanan ini diadakan buat kali pertama di Malaysia dan rantau Asia, Azhan meminta semua pihak-pihak berkuasa tempatan untuk sama berganding bahu menyatakan sokongan kepada MSDeaf agar kejohanan yang dianjurkan dapat berjalan dengan lancar.