PASUKAN Formula Satu McLaren melihat pemandu mudanya, Oscar Piastri sebagai calon juara dunia selepas mempamerkan aksi hebat ketika musim pertamanya dalam sukan terpantas dunia itu.
Piastri, 22, memenangi perlumbaan Sprint Grand Prix Qatar dan berjaya menaiki podium sekaligus McLaren melihat perkara ini sebagai motivasi yang baik buat pelumba Australia itu tampil lebih garang musim ini.
Pasukan British itu mempunyai barisan pemandu yang baik untuk musim 2024 dengan Piastri sekali lagi akan bergandingan bersama Lando Norris dalam usaha mereka menamatkan dominasi Max Verstappen dan Red Bull Racing.
Prinsipal pasukan, Zak Brown sedar akan cabaran yang bakal dihadapi dan dia yakin gandingan pemandunya mampu memberikan keputusan yang baik buat pasukan musim ini.
“Saya jangkakan Oscar dan Lando akan bersaing lebih hebat musim ini. Lando juga pantas seperti pelumba yang lain dalam Formula Satu dan kedua-dua mereka ini adalah bakal juara dunia.
“Oscar dan Lando akan lebih rapat musim ini dan berjaya mendapatkan potensi maksimum yang ada pada jentera dan jika jentera kami baik, kedua-dua mereka mampu untuk mencabar kejuaraan,” katanya menjelang musim baharu.
Zak juga gembira dengan kematangan yang ditunjukkan Piastri terutama sebagai rookie untuk musim yang sukar dan sedia melihat pemandu itu berkembang di McLaren sebagai salah seorang pelumba yang baik.
“Untuk mempunyai tahap kematangan bagi pemandu yang baru, saya boleh katakan ianya sangat luar biasa. Dia memahami keperluan teknikal jentera dan apa yang diperlukan olehnya pada sesi latihan Jumaat bagi memastikan jentera sentiasa kompetitif di setiap sesi.
“Kelajuan yang ada padanya tidak boleh dipertikaikan tetapi kebolehan teknikal, kesabaran, kematangan dan cara berlumba yang ada padanya membuatkan dia lain dari yang lain terutama bagi seorang pelumba pada tahapnya,” jelasnya lagi.
Piastri menamatkan musim 2023 di tangga kesembilan kategori pemandu dengan 97 mata dan membantu McLaren mengakhiri kategori pengeluar di tangga keempat dengan 302 mata di belakang Red Bull Racing, Mercedes dan Ferrari.
Musim 2024 bakal menyaksikan 24 perlumbaan dilangsungkan dengan Grand Prix Bahrain akan membuka tirai dari 29 Februari hingga 2 Mac dengan Max Verstappen sekali lagi akan turun mempertahankan kejuaraannya.