MENJELANG Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya bimbingan jurulatih Kim Pan-gon memang sudah mula melatih taktik permainan, selepas sebelum ini memfokuskan kepada aspek fizikal.
Senario itu dilakukan sepanjang latihan pasukan Malaysia di Padang Latihan Universiti Qatar.
Selalunya, hanya media Malaysia sahaja membuat liputan penuh tetapi pada Khamis malam tadi, lebih kurang lima orang dari agensi Korea Selatan turut tidak ketinggalan menyoroti sesi latihan.
Jurugambar Korea Selatan memfokuskan kepada Kim Pan-gon sebelum memerhatikan penuh minat beberapa pemain tumpuan seperti, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Mohamadou Sumareh sebelum beredar selepas tamat sesi 15 minit yang diperuntukkan kepada semua media bertugas.
Sebelum berpisah mereka sempat mengucapkan selamat berjaya kepada kami dan pasukan Malaysia selepas lama tidak berseteru atas padang ketika era 1970-an dan 1980-an.
Sementara itu, dalam latihan ini, Pan-gon memberikan bahan taktikal sebagai persiapan pasukan Malaysia menjelang Piala Asia 2023. Selain itu, difahamkan latihan taktikal ini juga diterapkan bagi memulihkan kondisi pemain.
Tonggak Johor Darul Ta’zim, Corbin-Ong juga bersama-sama menjalani latihan dengan rakan sepasukan selepas dilaporkan mengalami kecederaan dan ini satu berita gembira untuk Pan-gon meneguhkan lagi barisan pertahanan negara daripada dirobek sewenang-wenangnya pasukan lawan.
Setakat ini, dapat dilihat para pemain boleh mengikut perancangan dan berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan mula memandang kejohanan ini dengan lebih baik.
Namun begitu, perjalanan Malaysia mungkin tidak mudah kerana berada dalam kumpulan yang agak sukar. Namun begitu, bercakap mengenai optimistik sebenarnya ada peluang mencuri slot ke Pusingan 16.
Untuk rekod, Malaysia bermain hanya satu perlawanan ujian menentang Syria dan berakhir seri 2-2 sebelum menuju saingan sebenar Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada 12 hingga 10 Februari 2024.
Dalam temasya kali ini, Malaysia berada dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan. Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan pertama menentang Jordan pada 15 Januari 2024 di Stadium Al Janoub.