PERSATUAN Wartawan Sabah dan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (Gabungan Media Sabah) menganjurkan Lawatan Muhibah dan Sukan Media diantara Media Sabah-Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) buat julung kalinya bermula 15-18 Julai ini.

Program yang bakal dianjurkan ini dianggap untuk mempromosi dan meningkatkan hubungan yang lebih kukuh antara organisasi media di seluruh negara.

Malah ia juga bertujuan untuk menyerlahkan keperluan serta mengekalkan budaya sihat, kesejahteraan dan kecergasan yang menyeluruh di kalangan media profesional.

“Kami melihat ini sebagai peluang yang baik untuk mempromosikan kerjasama dengan wartawan di seluruh negara dengan menggabungkan sumber-sumber untuk masa depan yang lebih baik bagi semua pengamal media.

“Ini adalah perhimpunan terbesar media dari Malaysia Timur dan Barat,” ujar Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan pada sidang media, Rabu.

Sehingga kini, pihak penganjur telah menerima 100 penyertaan, 46 daripadanya adalah ahli NPC yang akan bersaing dalam pelbagai acara sukan seperti bola sepak, boling tenpin, ‘pool’ dan dart.

Kesemuanya adalah daripada Gabungan Media Sabah, NPC, Penang Press Club, dan Wartawan Sarawak Utara.

Sementara itu, program yang akan diadakan di Kota Kinabalu ini turut mendapat sokongan kerajaan Negeri Sabah dan lembaga pelancongan.

Menerusi kenyataan, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata: “Ini adalah peluang besar bagi ahli NPC dan Persatuan Wartawan Sarawak Utara untuk membina jambatan dengan media tempatan dan kerajaan negeri.

“Saya berharap ini bukan acara jangkauan media yang pertama dan terakhir dan berharap NPC akan membuat perkara sama untuk persaudaraan media Sabah dan Sarawak kita pada masa hadapan.”

Program ini juga turut mendapat suntikan tajaan dan sokongan daripada Trek4Me Berhad, Malaysia Airlines, Telum Media, serta MyQaseh.