KEPAKARAN selama dua dekad yang ada pada Megan Oesting menjadikannya calon paling sesuai mengubah budaya profesionalisme sukan renang Malaysia.

Dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan renang negara yang suram, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) meletakkan kepercayaan kepada pengarah teknikal baharu dari Amerika Syarikat itu.

Megan, 50, berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan, mempunyai kepakaran yang menepati ciri-ciri calon dikehendaki MAS, bakal bergabung dengan jurulatih baharu skuad kebangsaan, Eric Anderson yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Pemilik MOSTswimtech Inc itu menganggap, satu penghormatan buatnya mendapat pelawaan daripada MAS dan merasakan mempunyai misi serta visi yang sama dengan badan induk berkenaan bagi melahirkan perenang bertaraf dunia.

“Saya memerlukan anda, seperti anda memerlukan saya. Saya yakin untuk projek jangka panjang ini, kita semua perlu bersatu dalam mencari jalan terbaik meningkat tahap perenang  di setiap peringkat bukan hanya di bahagian atas sahaja,” katanya, ketika diperkenalkan MAS kepada media.

Megan Oesting, teruja dengan kepimpinan MAS yang memandang jauh ke hadapan.

Megan, tiba di Kuala Lumpur 8 Februari lalu, sudah mula meninjau keadaan terkini sukan renang tanah, memuji fasiliti renang kebangsaan di Bukit Jalil.

Ujar Megan, perkara pertama perlu dilakukan, termasuk menyeragam dan menyokong setiap langkah yang bakal dilakukan selepas ini.

“Kita akan cuba mengatasi segala kelemahan dan meningkatkan kemahiran perenang barulah boleh mempunyai skuad renang yang lebih konsisten.

“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan beberapa perenang seperti Steven (Khiew Hoe Yean) dan Wilson (Sim), di mana mereka teruja dengan peralihan ini demi masa depan sukan renang negara,” kata bekas Ketua Jurulatih Kelab Bend Swim itu.

Tambahnya, apa yang beliau harapkan kepada perenang utama seperti Hoe Yean dan Wilson adalah bukan sahaja dari segi meningkatkan prestasi malah mampu mempunyai daya kepimpinan.

“Pentin untuk mereka mempamerkan prestasi sebenar demi negara tetapi saya mahu mereka menjadi contoh untuk masa depan sukan ini,” katanya.

Sementara itu, penolong setiausaha MAS, Nurul Huda Abdullah berkata, kepakaran Megan dalam mengumpul dan menggunakan data bagi meningkatkan prestasi atlet, menarik minat persatuan, yang mahu melakukan reformasi besar-besaran.

Beliau bersama barisan baharu kepimpinan MAS mahu mengembalikan kegemilangan sukan renang negara, selepas menyaksikan skuad renang meraih lima emas di laman sendiri pada Sukan Sea 2017, sebelum pungutan itu menurun dengan skuad renang negara hanya membawa pulang dua emas ketika di Filipina (2019), serta satu emas ketika di Hanoi (2021) dan Kemboja (2023).