AHLI perniagaan Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin mengesahkan sudah menerima surat maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) Rabu lalu.

Menurut Megat yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), beliau berterima kasih kepada PBKL yang memberi perhatian di atas tawaran untuk membeli 51 peratus saham Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur United Sdn Bhd bulan lalu.

“Saya berterima kasih kepada PBKL terutama Setiausaha Agung Nokman Mustaffa yang memberi maklum balas mengenai tawaran saya baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

“Saya dah serah surat minggu lepas” – Megat D. Shahriman

“Saya tahu ia mungkin mengambil masa untuk diputuskan memandangkan ia perlu mengikut prosedur, lebih-lebih lagi mereka akan mengadakan kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) 7 September ini.

“Walau apa jua situasi mereka, tawaran saya tetap kekal dan diteruskan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Megat turut menyokong Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk dicalonkan bagi merebut kerusi presiden PBKL.

“Saya tahu beliau mempunyai semangat bola sepak yang tinggi, dan sewajarnya beliau diberi peluang untuk mengubah landskap bola sepak Kuala Lumpur kepada yang lebih baik.

“Mungkin di bawah pimpinannya pasukan Kuala Lumpur akan kembali menyinar, dan tiada lagi masalah-masalah yang timbul sekarang.

“Apa yang merisaukan saya, nasib pemain-pemain yang ada sekarang sekiranya masalah kewangan terus membelenggui kelab ini.

Untuk rekod, jawatan presiden PBKL kini dipangku oleh Abdullah Sani selepas Khalid Samad melepaskan jawatan itu pada Mac lalu.

Nik Nazmi yang merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memuatnaik videonya di Tik Tok pada Khamis menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden PBKL pada kongres yang akan berlangsung bulan depan.