NAMA Malaysia terus menjadi sebutan di pentas sukan dunia apabila Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjaya menempatkan nama sebagai Ahli Lembaga Pengurus International Federation of CP Football (IFCPF Governing Board Member) pada majlis pemilihan yang berlangsung di Salou, Sepanyol pada Isnin lalu.
Megat berjaya berada dalam senarai barisan tertinggi (IFCPF) yang diwakili daripada 93 buah negara (ahli anggota) dunia yang lain sekaligus memartabatkan lagi sukan Para Malaysia terutamanya dalam Bola Sepak Cerebral Palsy di peringkat dunia.
IFCPF adalah badan yang bertanggungjawab sedunia untuk mengawal selia Sukan CP Football dan ahli kepada International Paralympic Committee (IPC).
“Saya sebagai wakil MPM telah menang dan bersyukur kerana Malaysia mendapat perhatian dan kepercayaan di serata dunia. Mereka telah melihat signifikasi penglibatan Malaysia melalui hubungan yang baik di peringkat antarabangsa, lebih-lebih saya juga merupakan wakil negara di peringkat Continental Asia di Asian Paralympic Committee (APC) dan Region Southeast Asia Board of Governors di ASEAN Para Sports Federation (APSF).
“Kemenangan ini penting buat MPM dan khususnya Malaysia dalam memartabatkan lagi acara Bola Sepak CP Malaysia yang sememangnya kita tahu rekod terbaik pasukan negara setakat ini di peringkat ASEAN sahaja di mana pasukan negara telah menang pingat emas semasa ASEAN Para Games 2023 Cambodia.
“Selepas terbuktinya dengan kemenangan tersebut, menjadi tanggungjawab saya sebagai Presiden MPM untuk memastikan Bola Sepak CP diketengahkan ke peringkat tertinggi,” jelas Megat D Shahriman dalam satu kenyataan media.
Selain itu, Megat juga tidak akan melepaskan peluang untuk membida sebagai tuan rumah bagi IFCPF World Cup Qualifier – Asia Oceania Championship di Kuala Lumpur2025. Proses pembidaan akan dibuka tidak lama lagi.
“Dengan fasiliti dan kemudahan yang baik di negara kita, saya akan membida supaya pusingan kelayakan itu diadakan di Kuala Lumpur. Saya yakin Malaysia mampu menjadi tuan rumah bagi temasya yang besar.
“Dengan peluang yang saya perolehi di Salou ini, saya akan gunakan untuk menaikkan nama Malaysia bukan sahaja bagi menyediakan pasukan terbaik, tetapi sebagai tuan rumah dalam memastikan kita menang dalam bidaan tersebut,” tambah Megat.