SELEPAS lebih setahun Teoh Mei Xing ‘berkelana’ dalam haluan yang tidak pasti, dia akhirnya mampu meletakkan impian untuk kembali ke kelompok Top 20 beregu wanita dunia berpasangan lama, Anna Cheong.
Terpaksa melupakan Anna setelah gandingannya itu mengalami kecederaan ACL lutut kanan, pada September 2022, Mei Xing diberi tanggungjawab sebagai pemain beregu campuran bersama Hoo Pang Ron.
Biarpun ada harapan dipamerkan gandingan ini, namun tidak cukup menyinar sebagaimana Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Justeru, sebaik Anna kembali pulih dari kecederaan, Mei Xing-Anna kembali digandingkan pada Kejohanan Dunia Ogos lalu, untuk memperbaiki ranking dunia mereka yang kini di tangga ke-64.
Untuk rekod, Mei Xing dan Anna pernah menduduki ranking ke-17 dunia sebelum gandingan mereka terpaksa dibubarkan gara-gara kecederaan ACL itu.
“Saya harap boleh kembali berada dalam kelompok 20 terbaik, itu sasaran kami,” kata Mei Xing.
Mengulas lanjut, Mei Xing berkata, barisan kejurulatihan sudah menetapkan bahawa dia hanya akan menumpukan perhatian kepada acara beregu wanita.
Menurutnya, dia dan Anna dijadual menyertai tiga kejohanan awal bagi musim 2024 bermula dengan Terbuka Malaysia pada bulan depan sebelum Indonesia dan Thailand.
Mei Xing-Anna bakal berdepan halangan sukar di Axiata Arena 9 hingga 14 Januari depan, apabila diundi berdepan pilihan kelapan dari Korea Selatan yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia Hangzhou, Baek Ha Na-Lee So Hee di pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
“Mereka keluar sahaja (dalam kejohanan tahun ini), pasti akan ada yang masuk final. Bagi saya ia seperti ‘cabutan bertuah’… susah, semua yang bertemu mereka memang susah. Bagi saya, ia satu undian yang sukar namun kami tak akan terlalu fokus sangat (kemampuan lawan).
“Hanya bermain cara kami dan kalau boleh mahu mengecewakan mereka. Apapun, sudah pasti kami perlu melakukan tugas dan persiapan dengan baik,” kata Mei Xing.