ESI Hub, Puchong Malaysia Esports League 2023 (MEL23) atau Liga E-sukan Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan menemui kemuncaknya apabila acara penutup iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari berakhir pada Sabtu.
Selangor telah dinobatkan sebagai juara MLBB Peringkat Kebangsaan manakala MVP dimenangi oleh pemain dari negeri yang sama.
MEL23 Peringkat Kebangsaan mempertandingkan tiga kategori judul permainan iaitu PUBG Mobile, eFootball Mobile dan MLBB. Pertandingan kategori PUBG Mobile dan eFootball telah pun berlangsung pada 14 dan 15 Oktober lalu juga di ESI Hub.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai juara PUBG Mobile Peringkat Kebangsaan manakala MVP PUBG Mobile turut dirangkul oleh pemain dari pasukan yang sama.
Untuk kategori eFootball Mobile pula, Pahang menjadi juara manakala pemain dari Johor diangkat sebagai MVP. Berbeza dengan tahun sebelumnya, Finals MEL23 peringkat negeri tahun ini dijalankan secara fizikal di lokasi negeri masing-masing dan juara negeri masing-masing juga dapat bertanding secara fizikal semasa di Peringkat Kebangsaan.
Tahun ini juga MEL memperkenalkan pingat baru iaitu Most Valuable Player (MVP) untuk semua judul permainan dari Peringkat Negeri, Kebangsaan dan Siri Terbuka.
“MEL23 Peringkat Negeri dan Kebangsaan telah berakhir dengan jayanya. Saya amat gembira melihat bakat-bakat muda dalam kategori-kategori e-sukan yang muncul menerusi platform MEL 23, dan persaingan sihat yang mereka bawa untuk membanggakan negeri dan wilayah persekutuan mereka sememangnya amat memberangsangkan.
“Pertandingan berprestij kebangsaan seperti inilah yang boleh membantu lebih banyak bakat-bakat baru untuk cemerlang dalam dunia e-sukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir.
Seterusnya, MEL 23 akan diteruskan lagi dengan Siri Terbuka MEL23 yang akan turut memperkenalkan tajuk permainan baharu seperti eFootball (konsol) dan Counter Strike 2.
Bagi kesemua enam judul permainan yang dipertandingkan di MEL23, wang hadiah yang terkumpul adalah berjumlah RM 317,400.00.
MEL 23 merupakan sebuah platform persaingan e-sukan yang kompetitif dan inklusif bagi bakat-bakat akar umbi tempatan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Esports Integrated (ESI) bersama-sama dengan 16 Persatuan e-sukan Negeri dan Wilayah Persekutuan, serta disokong oleh susu Goodday (Rakan Minuman Rasmi), Rakan Muda (Rakan Pelaksana) dan disokong oleh Rakita 107.0 serta MPL Malaysia.