SEBUAH pasukan dari selatan tanah air dikhabarkan ‘culas’ gaji apabila pemain dan staf tidak menerima elaun selama dua bulan.

Pemain-pemain dan staf Piala Presiden dan Piala Belia Melaka FA dikatakan tidak menerima elaun selama dua bulan sejak Mei lalu.

Menurut sumber, kesemua pemain dan staf kejurulatihan Melaka didakwa masih belum menerima sebarang bayaran elaun untuk Mei dan Jun daripada Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Seorang pemain Melaka yang sedang beraksi dalam perlawanan Piala Belia.

Jelas laporan Melaka United Media, skuad Piala Presiden Melaka ketika ini berada di tangga keenam Kumpulan A selepas dua kemenangan, dua seri dan tewas lima kali musim ini sementara Piala Belia menyaksikan Melaka di kedudukan kedua tercorot dalam kumpulan.

Fokus MAFA beralih kepada pembangunan akar umbi membabitkan skuad Piala Presiden, Piala Belia, futsal lelaki, Piala Puteri dan Liga Wanita Kebangsaan.

Merujuk kepada blueprint MAFA 2024, persatuan bolasepak negeri itu meletakkan bajet sebanyak RM2.79 juta bagi program pembangunan akar umbi.

Skuad Piala Presiden diperuntukkan sebanyak RM880,050 sementara bagi skuad Piala Belia pula adalah sebanyak RM671,300 bagi mengharungi kempen musim ini.

Kami di FLASH SUKAN berharap agar masalah tunggakan elaun pemain dan gaji staf kejurulatihan ini dapat diselesaikan segera.