SETELAH terkuburnya Melaka United FC, peminat bola sepak Melaka boleh menarik nafas lega apabila pasukan bola sepak Melaka FC disahkan akan bertanding pada saingan Liga M3 musim hadapan sekaligus menepis spekulasi nama Harimau Melaka FC yang dikatakan akan digunakan sebagai nama baharu.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) Datuk Nur Azmi Ahmad yang turut memburu misi kembali ke Liga Super pada 2024, selain layak beraksi di Piala FA untuk musim 2023.

Dia juga akan sedaya upaya memastikan pasukan itu mempunyai kualiti setanding pasukan Liga Super dengan sekurang-kurangnya 10 pemain anak jati Melaka akan dipilih meskipun terpaksa bermula dari liga bawahan.

Datuk Nur Azmi Ahmad

 

“Kita juga dalam proses memilih jurulatih baharu dengan sudah menyenarai pendek empat jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan untuk mengemudi pasukan dan pada masa yang sama, jawatankuasa teknikal juga akan dilantik bagi bekerjasama dengan jurulatih dalam aspek pemilihan pemain.

“Barisan pemain pula akan kita siapkan pada Disember 2022 iaitu dua bulan sebelum saingan Liga M3 2023 membuka tirainya pada Februari dan kami akan menggunakan Stadium Hang Jebat sebagai gelanggang sendiri dengan semua perlawanan berlangsung pada sebelah malam,” katanya.

Selain itu, Nur Azmi turut menambah bahawa pihaknya juga telah membuat ketetapan dalam soal pengurusan dan akaun pasukan dengan mewujudkan satu akaun khas khusus untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan dan mengelakkan masalah tunggakan gaji berulang lagi.

“Saya mahu fokus dan pastikan pembayaran gaji mengikut masa ditetapkan. Saya akan pastikan jika saya berhutang sekalipun, ia bukanlah hutang kepada pemain kerana perkhidmatan itulah yang paling penting dalam mengembalikan sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negeri ini.”

Nur Azmi turut mengumumkan nama Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini diganti kepada MAFA berkuat kuasa serta merta bertujuan untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Melaka yang telah wujud sejak tahun 1924.