MELAKA UNITED FC kembali memburu kemenangan di Stadium Hang Jebat selepas kecewa dengan gol minit akhir Amri Yahyah untuk akur dengan kekalahan 2-1 kepada Sabah bulan lalu.

Selepas berehat hampir dua minggu, skuad kendalian Asri Ninggal ini akan berhadapan pasukan yang sedang dalam prestasi cemerlang, Sri Pahang FC dan pastinya Melaka United mahu menyekat kemaraan skuad Tok Gajah di laman sendiri.

Sembilan mata dari tujuh perlawanan di gelanggang sendiri bukanlah satu rekod yang boleh dibanggakan, tetapi persiapan rapi termasuk perlawanan persahabatan menentang Imigresen FC memperlihatkan betapa seriusnya mereka bagi menghadapi perlawanan ini.

 

Asri Ninggal pastinya menuntut aksi terbaik untuk ditunjukkan oleh anak-anak buahnya kerana tiga mata sangat penting bagi memperbaiki kedudukan Melaka United dalam carta Liga Super dimana mereka kini di tangga kesembilan dengan 16 mata.

Sementara itu di kem Sri Pahang pula, para pemain pastinya mahu mengekalkan momentum kecemerlangan selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut sekaligus melonjakkan mereka ke tangga kelima liga dengan 17 mata.

Sejak mengambil alih pasukan, Datuk Dollah Salleh seolah-olah mempunyai magis apabila Sri Pahang bukan sahaja menang tiga kali dan tidak bolos dalam tiga perlawanan malah berjaya menjaringkan tujuh gol.

Tambah menarik, penyerang yang sebelum ini dikecam hebat, Steven Rodriguez tiba-tiba mendapat sentuhan jaringan dan kini sudah menggegar gawang lawan empat kali dalam tiga perlawanan liga.

Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh barisan pertahanan Melaka United selain perlu menyekat larian deras Manuel Hidalgo yang mampu mengkucar-kacirkan benteng untuk mencipta peluang jaringan buat Rodriguez.

Namun, kem Sri Pahang dilanda masalah kecederaan apabila beberapa pemain terpaksa diusung keluar ketika perlawanan menentang PJ City tempoh hari dan ini pastinya akan memberikan sedikit kegusaran kepada barisan kejurulatihan.

Kemenangan bagi kedua-dua pasukan mampu melonjakkan mereka ke tangga keempat mengatasi Kuala Lumpur City FC sekaligus selesa menjarakkan diri dari kelompok pertengahan liga yang kini menjadi rebutan enam pasukan.