JURULATIH Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui kekalahan 5-0 kepada Selangor FC merupakan suatu keputusan memalukan buat keseluruhan pasukan tuan rumah.

Menurut Irfan, ia merupakan kali pertama dalam sejarah hidupnya, skuad kendaliannya pernah dikalahkan dengan jumlah jaringan sebesar itu.

“Satu kekalahan yang memalukan. Tak sepatutnya sampai lima kosong. Walaupun inilah kali pertama bermain di Liga Super. Walaupun ada 24 perlawanan lagi, kekalahan 5-0 itu adalah satu pengajaran. Kita akan buat pembetulan semula.

“Sebagai jurulatih, ini kali pertamalah saya kena lima biji. Saya tanya Joseph Kalang Tie tadi, ‘masa kau dengan aku pernah kena banyak macam ini?’ ‘Tak pernah coach’. Okay, tidak mengapa. Satu pengajaran bagi saya,” jelas Irfan Bakti dalam sidang media selepas perlawanan Kuching City menentang Selangor FC di Stadium Negeri Sarawak.

Selain itu, jurulatih berpengalaman itu menegaskan pasukannya terpegun melihat corak permainan Selangor FC dan lambat satu langkah mengakibatkan lawan mudah mengawal permainan.

“Kita lambat satu step, mereka passing baharu kita pergi. Keduanya, boleh dikatakan ramai pemain saya terpegun melihat permainan Selangor, jadi kita ketinggalan. Dari segi dua tiga gol, corner kick, mudah sangat kena tipu helah pemain lawan,” ujarnya.

Sementara itu, Irfan menyeru anak buahnya agar tidak terlalu menghormati pasukan lawan biarpun mereka memiliki ramai tonggak kebangsaan dan import berkualiti menjelang bertemu Sabah FC selepas ini.

“Untuk perlawanan seterusnya, saya kena beritahu pemain-pemain jangan hormat sangat pasukan lawan walaupun pasukan lawan mempunyai keseluruhan pemain mereka bermain bawah 23 kebangsaan, kebangsaan dan memiliki import yang baik,” katanya.