PENGURUS Chelsea, Graham Potter mula menunjukkan keresahan setelah skuad bimbingannya telah melalui detik hitam setelah tewas mengejut 4-0 kepada Manchester City.

“Keputusan ini dalam jangka masa pendek tidak positif. Anda boleh mencari sebab dan alasan mengatakan pasukan kami belum cukup baik dan semua yang anda katakan adalah benar.

“Tetapi kita tidak boleh fikirkan perkara lain selain melakukan sesuatu agar pasukan kita semakin baik dari masa ke masa. Kami memahami penyokong kecewa, saya hormati perkara itu. Tugas kita adalah untuk terus bekerja,” jelas Potter.

Dalam pada itu, bekas penyerang England, Alan Shearer menyelar aksi pasukan Chelsea dengan menyifatkan ia merupakan aksi paling menjengkelkan yang pernah disaksikan.

“Tidak boleh diterima, memalukan dan sangat teruk. Dari sudut pandang Chelsea, separuh masa pertama tidak boleh diterima. Saya tidak peduli berapa banyak kecederaan yang pasukan anda ada, tetapi anda harus menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam padang.

“Tengok sajalah kepada lenggok tubuh badan pemain. Mereka kelihatan seperti tidak mahu berada di sana. Menyerang pun sangatlah teruk, apa lagi boleh saya katakan kepada pasukan ini.

“Selepas ini mereka ada banyak lagi perlawanan mendatang, mereka harus lakukan sesuatu,” kata Shearer.

Dalam aksi tersebut, Manchester City melengkapkan malam gemilang mereka dengan dua jaringan menerusi Riyad Mahrez, ledakan dari Julian Alvarez serta satu gol dari Phil Foden.