WALAU ribut dan badai melanda, pemain-pemain Kuala Lumpur (KL) City FC masih tetap berjuang serta berdiri teguh bersama pasukannya. Semangat demikian yang boleh digambarkan menerusi kenyataan tonggak utama mereka, Kenny Pallraj.
Menurut pemain berusia 31 tahun itu, segala pahit manis yang dilalui bersama pasukan KL City terpaksa ditelan dan selepas itu, dirinya hanya fokus untuk menampilkan prestasi terbaik di atas padang.
Malah demikian, sebagai pemain bola sepak, Kenny turut mengakui bahawa jatuh bangun itu sudah menjadi lumrah perjalanan dalam kariernya yang sudah bersama skuad The City Boys sejak tahun 2021 lagi.
“Bagi saya inilah lumrah pemain bola sepak, jatuh bangun, apa-apa yang jadi di luar dan apa yang berlaku, orang akan pandang pada prestasi kami di dalam padang.
“Jadi, bagi kami sebagai pemain bola, ini hidup kami. Walaupun kita sedih, tertekan atau kita dalam kekangan, bola sepak lah yang bagi kegembiraan dan ketenangan. Kami bersyukur kami dapat satu kerja yang kami minat dan suka.
“Suka untuk saya tambah juga, tiada pemain yang mahu masuk padang untuk nampak buruk. Jadi kita persembahkan segalanya,” ujar Kenny ketika ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super pada Sabtu.
Meskipun skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu tewas kepada Sang Penyu 0-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, namun momentum perlawanan yang dipamerkan oleh pemain-pemain The City Boys tidak melihatkan sebarang tekanan, walau sedang diulit pelbagai masalah.
“Pemain KL City istimewa dan unik. Dalam bertahun-tahun sebelum ini juga banyak perkara yang kami lalui di belakang tadbir, tetapi pemain setiap masa bagi lebih 100 peratus. Itu magik yang ada di sini.
“Saya akui memang susah, memang parah, semua sakit, sebab apa yang berlaku bukan benda biasa. Sebagai seorang pemain memang susah untuk hadapi benda yang kami tiada kaitan, tetapi ini lah kerja kami dan kami sentiasa menghiburkan peminat yang menjunjung bola sepak,” jelas Kenny.