SELEPAS tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis semalam, pemain ranking nombor dua dunia, Lee Zii Jia mengakui kelemahan dalam permainannya.

Menurutnya, meskipun melonjak ke kedudukan ranking terbaik sepanjang kariernya, selagi dia tidak dapat bermain sempurna, dia tidak mampu mengekalkan prestasi di tahap pemain tidak terkalah.

“Pada perlawanan semalam, saya banyak melakukan ‘unforced error’ dan tidak sabar menyudahkan permainan.

“Ya memang saya kini berada di ranking kedua dunia, tapi saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi sekarang,” katanya.

 

Dalam aksi semalam, Zii Jia tewas kepada pemain Indonesia Shesar Hiren Rushtavito 19-21, 18-21.

Zii Jia berkata, dia masih cuba mengatasi setiap kelemahan dalam permainannya.

“Saya juga perlu tingkatkan dan tajamkan beberapa aspek dalam permainan untuk menjadi pemain lebih baik,” katanya.

Pada aksi final di Terbuka Denmark minggu lalu, Zii Jia tewas kepada pemain China Shi Yu Qi, 18-21, 21-16, 12-21.

Seterunya dari China itu turut menerima nasib sama di Terbuka Perancis semalam, apabila tersingkir di pusingan pertama setelah tewas kepada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 16-21, 14-21.

Selepas ini, Zii Jia akan beraksi di Terbuka Hylo (Jerman).