ADA kisah tersendiri di sebalik ‘tarian’ pemain Perak FC, Sunday Kolawole Afolabi semasa penghujung aksi Liga Premier 2022 yang berlangsung tegang di Kota Baru, Kelantan pada petang Rabu.

Jurulatih The Bos Gaurus, Yusri Che Lah sambil berjenaka membisik sesuatu kepada pemain kelahiran Nigeria berusia 23 tahun itu supaya meneruskan gayanya atas padang.

“Saya memang suruh Sunday naik menari. Saya pi bisik kat dia. Orang lain tak tau tapi aku tau, apa hang buat dan aku nak hang buat teruih (terus) macam tu.

“Saya ada tampar Sunday dan kalau dia kena kad merah, kita tetap akan menang. Bukan takbur tapi saya rasa lawan tertekan dengan keinginan yang melampau.

“Jadi kami pun tertekan sebenarnya minit pertama kami kena, tapi itulah bola sepak. Pemain bermain dengan hati berbeza, bukan dipaksa, disuruh tapi dengan keazaman.

“Insha Allah kami akan lebih erat dan lebih berdaya saing di masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sebahagian penyokong TRW yang hadir ke Stadium Sultan Muhammad IV, pada Rabu.

Yusri, 46 yang pernah membimbing Kelantan memohon maaf kepada peminat The Red Warriors (TRW) apa yang berlaku di luar padang termasuk kekalahan pertama dialami mereka digelanggang sendiri musim ini.

“Maaf semua peminat TRW. Saya faham perasaan apabila tewas tapi kami hadir misi dapatkan mata. Tak mudah beraksi di sini dalam cuaca panas.

“Terima kasih semua pemain berjuang demi pasukan Perak, saya sendiri tak jangka pemain akan beraksi baik di hadapan lebih 8,000 penonton yang cukup banyak,” katanya akan mengalih tumpuan kepada aksi berikutnya bertemu Johor Darul Ta’zim di tempat lawan pada Sabtu ini.