BEKAS tonggak utama bola sepak negara, Shahrulnizam Mustafa yang beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2007 menganggap perlawanan itu sebagai satu peristiwa yang pahit namun tetap harus ditelan.

Menurut bekas pemain yang berusia 42 tahun itu, kekalahan bertubi-tubi yang menimpa skuad Malaysia ketika itu amat mengecewakan pasukan malah juga kepada penyokong-penyokong yang hadir memberi sokongan.

Namun, dirinya percaya bahawa perkara itu merupakan asam garam sebagai seorang pemain bola sepak dan harus bertanggungjawab di atas semua keputusan dalam pertarungan yang dihadapi.

“Ikutkan saya, tak nak kenang langsung pun tentang perlawanan tersebut kerana kita sebagai tuan rumah tetapi kita tidak dapat pertahankan kemenangan satu pun. Selepas itu saya tak ada keluar rumah sebab malu nak berhadapan dengan orang.

“Saya tidak menyalahkan jurulatih Norizan Bakar atas kekalahan tersebut kerana itu merupakan tanggungjawab semua orang termasuk saya sendiri. Tetapi, bagi pandangan saya, faktor taktikal permainan sangat penting dan menjadi punca kekalahan atau kemenangan sesebuah pasukan.

“Tetapi kita di era tahun 2024, saya melihat pasukan Harimau Malaya sekarang jauh lebih baik daripada skuad ke Asia sebelum ini tahun 2007.

“Sewaktu dikhabarkan pasukan kebangsaan kita layak ke Piala Asia Qatar 2024, saya rasa sangat bangga dengan mereka dan saya rasa mereka boleh pergi sejauh yang mungkin jika dilihat dari kualiti yang ada pada skuad bimbingan Kim Pan-gon sekarang,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Shahrulnizam, untuk memastikan skuad kebangsaan tidak mengulangi sejarah gelap seperti dalam perlawanan Piala Asia 2007, Pan-Gon perlu menurunkan pasukan terbaik dan mengemaskini taktikal supaya mengelakkan gawang gol Malaysia dibolosi pihak lawan.

“Sekarang bukan berada di tahap untuk mengkaji pemain dan sebagainya dan saya harap Kim Pan-Gon dapat menurunkan skuad kesebelasan utama yang terbaik dalam perlawanan nanti.

“Piala Asia ini satu pentas yang besar jadi satu kesilapan mudah memang kita akan dihukum. Tetapi saya boleh lihat pasukan kebangsaan kini lebih konsisten dan berada pada landasan yang betul.

“Pemain-pemain sudah mempunyai karakter yang bagus iaitu tidak terlalu hormat kepada pihak lawan, dalam masa yang sama tidak memandang rendah akan kemampuan mereka. Jadi katakter sedemikian hanya perlu dikekalkan,” kata bekas kapten Perak itu lagi.