MALAYSIA layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun apabila menang bergaya 4-1 ke atas Bangladesh dalam aksi Kelayakan Akhir Piala Asia AFC 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Gol hasil jaringan Safawi Rasid, Dion Cools, Syafiq Ahmad dan Darren Lok berjaya memberikan tiga mata buat Harimau Malaya sekaligus menduduki tempat kedua Kumpulan E dan layak sebagai salah satu dari lima pasukan tempat kedua terbaik.
Beberapa perubahan dilakukan Kim Pan Gon dengan menampilkan taktikal serangan dan juga meletakkan tanggungjawab menjaga gawang kepada Syihan Azmi yang melakukan debut untuk skuad senior kebangsaan.
Malaysia bermula garang dari awal permainan dan berjaya mendahului pada minit ke-16 apabila Safawi Rasid menyempurnakan penalti selepas Matt Davies dikasari dan disambut gembira hampir 53,000 penyokong yang hadir sebagai pemain ke-12.
Ribuan penyokong Bangladesh bergembira apabila Mohammad Ibrahim berjaya menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk gol hasil lontaran ke dalam pada minit ke-31.
Gol itu tidak melunturkan semangat anak-anak buah Kim Pan-gon dan mereka kembali mendahului pada minit ke-38 hasil jaringan sulung Dion Cools untuk Malaysia mendahului 2-1 pada babak pertama.
Malaysia tidak menunggu lama apabila bermula babak kedua apabila Syafiq Ahmad menanduk masuk umpanan cantik Faisal Halim untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-46 untuk skuad negara semakin selesa dengan kelebihan dua gol.
Syafiq, Safawi dan Faisal dibawa keluar dan KPG memasukkan Akhyar Rashid, Darren Lok dan Nazmi Faiz untuk memantapkan lagi serangan Malaysia pada minit ke-68
Pertukaran ini nyata berhasil apabila Darren Lok berjaya menyumbat gol keempat hasil hantaran Akhyar Rashid untuk lima minit selepas kedua-dua mereka dimasukkan untuk melengkapkan malam sejarah buat Malaysia.
Para penyokong yang nyata gembira dengan kelayakan ke Piala Asia berpesta di dalam stadium dengan nyanyian beramai-ramai yang diketuai oleh Ultras Malaya sekaligus mencipta malam gemilang dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Kemenangan ini menyaksikan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir melakukannya pada 1980 dan layak secara tuan rumah bersama pada 2007 dan kini kembali membuat kemunculan dalam kejohanan bola sepak terbesar Asia ini.