KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari gembira dengan ‘mindset’ yang ditunjukkan para pemainnya meskipun berhadapan dengan pasukan bawahan liga.
Dia yang berpuas hati dengan keputusan perlawanan tetap menganggap aksi menentang Kelantan FC adalah pertemuan yang sukar meskipun berjaya mencatat kemenangan 5-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat.
“Perlawanan hari ini penting dari segi ‘mindset’ kerana kami bimbang kami mempunyai ‘mindset’ yang salah apabila bertemu pasukan di tangga terbawah tetapi pemain membuktikan sebaliknya dan kami berjaya bermain permainan kami.
“Pemain menunjukkan persembahan yang baik sejak dari awal permainan kerana kami bermain dengan mentaliti yang tepat iaitu menyerang dan kami berjaya mencipta banyak peluang kerana pemain sentiasa berlari dan membuka ruang dan pada keseluruhannya saya gembira,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Solari juga menjelaskan para pemain sudah tahu dengan sistem penggiliran pemain yang diadakan dalam kelab dan turut berpuas hati dengan semua pemain yang menunjukkan kesungguhan untuk membawa kelab ini ke satu aras yang tinggi.
“Kami melakukan penggiliran pemain dan memberi rehat kepada pemain yang masih belum berehat seperti Jordi Amat, Arif Aiman dan Matt Davies supaya mereka dapat lebih rehat dan bersedia untuk final selain memberikan minit permainan kepada pemain yang menunjukkan potensi ketika latihan dan mahu membuktikan mereka layak berada dalam pasukan yang mana pada akhirnya, saya gembira dengan semua pemain saya,” jelasnya.
Ditanya adakah dia bimbang dengan beberapa kesilapan yang dilakukan para pemainnya hingga memberikan peluang kepada Kelantan untuk menjaringkan gol, Solari berkata dia tidak bimbang kerana dia tahu kesilapan akan membantu para pemainnya untuk tampil dengan lebih baik.
“Kesilapan adalah sebahagian daripada penambahbaikan kerana jika anda tidak lakukan kesilapan anda susah untuk perbaiki. Apa yang penting pemain mempertahankan idea bola sepak kami dan saya percaya dengan pemain saya dan mereka juga yakin dengan corak permainan yang kami inginkan. Kesilapan ini akan menjadikan mereka lebih baik,” katanya.
Lima gol yang dijaringkan pada perlawanan itu turut menyaksikan JDT memecah rekod jaringan semusim Liga Super dengan 67 gol dari 17 perlawanan dan bekas pembantu jurulatih skuad B-23 tahun Argentina itu memberikan pujian buat pemainnya yang sentiasa dahagakan jaringan.
JDT BREAK MALAYSIA SUPER LEAGUE SEASON GOAL RECORD
A total of 67 goals scored by Johor Darul Ta'zim FC (JDT) so far in the 2023 season is the new Malaysia Super League record. The previous record was 64 goals achieved by Selangor FA in the 2009 season. Luaskan Kuasamu Johor. pic.twitter.com/vS3LKk8SL9
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) July 14, 2023
“Suka untuk mendengar yang kelab ini sentiasa memecah rekod dan pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan dan kelab ini akan sentiasa memecah rekod dan pemain tidak akan berhenti. Tahniah kepada pemain saya yang sentiasa dahaga dalam mencari jaringan.”