PENGENDALI Liverpool FC, Jurgen Klopp berkata dia tidak mahu memalukan pasukan Bournemouth setelah anak buahnya membelasah pasukan tersebut 9-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Anfield.
Meskipun The Reds memulakan kempen Liga Perdana Inggeris agak kurang meyakinkan dengan hanya mencatat dua seri dan satu kalah, namun hari ini mereka telah membuktikan kemampuan sebenar pasukan Liverpool FC.
“Kita berjaya menjaringkan gol yang cantik. Kita telah selesa, namun kita masih terus menjaringkan gol. Ia adalah tentang meneruskan momentum.
“Bukan hendak memalukan Bournemouth, kita tidak mampu menghormati mereka lebih daripada itu. Ia adalah tentang meletakkan pasukan lawan berada dalam tekanan.
“Harvey Elliott adalah seorang pemain yang istimewa. Semuanya lengkap bagi pasukan. Hari ini, wujud kombinasi permainan kelas dunia dan cuaca yang menarik. Lama kita tidak dapat menyaksikan aksi sebegini. Jadi, kita harus meraikannya.
“Sekurang-kurangnya kita tidak perlu menjawab soalan tentang kekalahan pasukan. Hari yang baik buat pasukan kita.
“Jika kita ingin berjaya dalam saingan liga, kita harus mempamerkan konsistensi. Itu apa yang perlu kita lakukan sekarang. Itu adalah antara kekuatan kami,” ujar Klopp.
The Reds kini menghuni tangga ke-8 kerana hanya berjaya mencatat dua keputusan seri dalam saingan awal liga musim ini.
Liverpool FC bakal berdepan Newcastle FC pada Khamis pagi, yang setakat ini masih belum tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris.