KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mahu memastikan kemenangan terlebih dahulu berbanding jumlah jaringan menjelang aksi terakhir Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Bangladesh pada Selasa.
Skuad Harimau Malaya berdepan dengan aksi sukar untuk mencari kemenangan selepas hanya mengumpul tiga mata bertemu Turkmenistan dan tewas kepada Bahrain Sabtu lalu.
“Kita sedar dengan keadaan buat masa ini, yang paling penting adalah menang dahulu. Saya percaya kepada para pemain, pada masa ini saya yakin mereka cukup matang.
“Saya lihat para pemain telah bersedia untuk memberikan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,” jelas Pan-gon pada sidang media pra perlawanan, Isnin.
Dalam pada itu, Pan-gon mengakui dia tetap menghormati pasukan Bangladesh sambil menyifatkan mereka mampu memberi saingan kepada pasukan bolasepak negara.
“Bangladesh adalah lawan yang kuat bagi kita, tetapi kita akan bermain dengan penuh yakin.
“Kita harus mempersiapkan pemain dengan susunan taktikal yang rapi sambil cuba untuk memanfaatkan peluang dan mengurangkan kesilapan mudah,” tambahnya.
Pan-gon turut menggesa pemainnya agar memberikan segala-galanya untuk perlawanan terakhir ini memandangkan ia diibaratkan pertemuan hidup mati bagi pasukan negara.
“Sebagai pemain profesional, mereka harus bijak mengawal emosi, diharapkan pengalaman lepas menjadi pengajaran buat kami.
“Dua perlawanan lepas bertemu Bahrain dan Turkmenistan, kami bermain sangat baik, persembahan kami menakjubkan,” tambahnya.