NG Tze Yong tidak boleh berputus asa dek kekalahan di suku akhir Terbuka Australia, sebaliknya pemain muda negara itu perlu segera cipta kebangkitan.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, meskipun tewas kepada rakan senegara dari kelab, Lee Zii Jia, anak didiknya Tze Yong, 23, mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur dengan kekalahan 21-17, 24-26, 1921 dalam pertarungan 1 jam 23 minit.
“Tidak perlu simpati daripada orang lain. Kalau anak mahu menangis, menangislah sekarang. Jika anda berasa kecewa, kecewalah sekarang.
“Ingat, kekalahan ini adalah sesuatu yang pahit. Belajar semula, bekerja keras lagi dan percaya bahawa satu hari nanti senyuman kegembiraan dan bangga akan hadir.
“Sebab kita percaya, kita sudah buat yang terbaik tetapi masih belum cukup lagi,” kata Hendrawan menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Hendrawan turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia yang juga bekas anak didiknya sebelum pemain itu meninggalkan skuad kebangsaan tahun lalu.
Katanya, Zii Jia bukan saja memenangi perlawanan tetapi yang paling penting dia berjaya menewaskan musuh utamanya iaitu dirinya sendiri.
Zii Jia sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas lima kejohanan berturut-turut tersingkir di pusingan awal.