JURULATIH Brazil, Tite membalas kritikan terhadap pemainnya yang meraikan jaringan dengan aksi tarian pada perlawanan Piala Dunia menentang Korea Selatan, sekali gus menolak tanggapan tindakan itu menunjukkan rasa tidak hormat.

Pasukan pilihan itu menang bergaya 4-1 ke atas Korea Selatan, Isnin lalu dan meraikan jaringan mereka dengan tarian dan pelbagai gerakan, malah Tite turut dilihat menyertai pemain meraikan salah satu jaringan itu.

Tite pertahan tarian anak buahnya, bukan mempersenda sesiapa.

Tindakan itu mengundang reaksi pelbagai pihak dan tarian Neymar bersama rakan sepasukan menjadi topik perbualan hangat menjelang aksi suku akhir menentang Croatia, malam ini.

“Ini bukan pasukan kebangsaan saya. Ia adalah pasukan kebangsaan Brazil yang mana saya bertanggungjawab sebagai jurulatih.

“Saya simpati dengan orang yang tidak mengetahui sejarah dan budaya Brazil dan cara hidup kami,” kata Tite ketika ditanya mengenai cara pemainnya meraikan jaringan ketika sidang media.

Pengendali berusia 61 tahun itu yang kali kedua membawa Brazil beraksi di Piala Dunia dan bakal melepaskan jawatannya sebaik tamat kejohanan, berkata, dia tidak selesa untuk menyertai pemainnya menari tetapi mahu mempunyai hubungan bersama mereka.

“Saya sudah berusia 61 dan semua pemain ini mungkin boleh dianggap sebagai cucu, tetapi saya mahu mempunyai hubungan dengan mereka.

“Jika saya perlu menari saya akan menari walaupun saya akan melakukannya secara halus dan saya akan meminta mereka melindungi saya. Ia bukan cara saya.” katanya.

Sebelum ini, bekas pemain antarabangsa England Roy Keane turut menyelar tindakan pemain Brazil menari.

Justeru, Tite meminta Keane menghormati budaya Brazil, menari ketika meraikan sesuatu bukan untuk tidak menghormati lawan. – AFP