ONE day,  some where… we will pick up our rackets… and play the sports we love again.. bro.. RIP.”

Luahan perasaan Datuk Lee Chong Wei itu dimuat naik pada status Facebooknya “Lee Chong Wei” selepas pemergian mengejut Gan Teik Chai pada usia 40 tahun.

Menerusi perkongsian di Facebooknya itu, Chong Wei berkata “Amat berat dan sedih untuk berkongsi berita pemergian rakan rapat, Gan Teik Chai yang saya selalu panggil Ah Gan.

Datuk Lee Chong Wei kongsi luahan rasa hati kehilangan seorang sahabat, Gan Teik Chai.

“Rasa kehilangan dan sedih ini tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya berulangkali memainkan mesej pesanan suara dia sebelum ini, dia setuju mahu bermain badminton bersama saya minggu hadapan. Kini detik bermain bersama Ah Gan tidak akan ada lagi sampai bila-bila.

“Ah Gan bukan sekadar rakan, dia umpama keluarga saya. Saya bersyukur kerana kami mempunyai terlalu banbyak kenangan bersama sejak kami bertemu pada usia 12 tahun.

“Kami berkongsi kelas, ke gelanggang latihan dan kejohanan kami bersama, setiap masa saya bersama Teik Chai penuh dengan hilai tawa, gembira dan saling menyayangi.”

Antara perkongsian Datuk Lee Chong Wei di Facebooknya.

Beliau mengucapkan takziah buat keluarga Teik Chai dan menawarkan kesediaannya untuk menyokong keluarga mendiang.

Pemergian Teik Chai yang meninggal akibat serangan jantung, meninggalkan seorang balu Esther Ng dan dua anak lelaki.

Gan Teik Chai bergandingan dengan Zakry Latif pernah melangkah ke separuh akhir Seluruh England 2006.

Keputusan acara beregu lelaki Seluruh England 2006. Tahun 2006 antara detik gemilang badminton negara apabila memiliki ramai gandingan beregu lelaki termasuk Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Hoon Thien-Chan Choong Ming.

Sepanjang bergelar pemain, Teik Chai pernah bergandingan dengan Tan Bin Shen, Ong Soon Hock, Zakry Latif, Lim Woon Fui dan Ng Hui Lin, malah pernah menjadi gandingan bersama Tan Boon Heong, Koo Kien Keat di pertandingan acara berpasukan.

Mendiang Gan Teik Chai ketika bergandingan dengan Ong Soon Hock.

Tan Bin Shen antara rakan gandingan Gan Teik Chai.

Sepanjang bergelar pemain, Teik Chai berasal dari Kedah pernah memenangi pingat gangsa Sukan Sea 2007 bersama Lim Woon Fui dan memenangi pingat gangsa berpasukan lelaki di Kejohanan Remaja Asia 2000.

Mendiang juga pernah muncul juara Kejohanan Antarabangsa Perancis 2004 bersama Kien Keat, juara Grand Prix Terbuka Australia 2009 bersama Bin Shen dan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Mauritius, Argentina dan Brazil bersama Soon Hock.