BEKAS pertahanan PDRM FC, Azmi Muslim mengakui terasa kehilangan B. Sathianathan yang meninggal dunia di usia 65 tahun pada Selasa selepas bertarung dengan kanser selama setahun.
Azmi yang pernah bermain di bawah kendalian mendiang ketika bersama pasukan ATM FC pada 2012 menganggap mendiang sebagai jurulatih yang bagus dan tegas di dalam padang tetapi bersikap terbuka dan mesra di luar padang.
Pemain berusia 37 tahun itu turut mendedahkan bahawa mendiang telah menggunakan wangnya sendiri untuk membina padang di TUDM Subang untuk digunakan sebagai padang latihan oleh skuad ATM.
“Sebagai seorang jurulatih, dia adalah seorang yang tegas dalam padang dan komited ketika latihan. Tetapi apa yang ‘syoknya’ pasal dia adalah ketika di luar padang kita boleh anggapnya sebagai bapa atau kawan yang kita boleh melawak. Sangat berbeza karekter dia di dalam dan diluar padang.
“Ketika di ATM dahulu, dia pernah keluarkan duitnya dahulu untuk membuat padang kerana dia betul-betul serius dan komited dalam kerjanya. Malaysia dan industri bola sepak kehilangan seorang jurulatih yang sangat dihormati ramai,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di majlis penghormatan terakhir di kediaman mendiang.
Azmi berjaya muncul juara Liga Premier 2012 ketika bersama ATM di bawah kendalian mendiang dan kenangan itu tidak akan dilupakan olehnya yang sudah menganggap Sathia sebagai individu yang lebih dari gelaran seorang jurulatih.
Mendiang B. Sathianathan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Nirvana Memorial Park, Shah Alam pada Khamis selepas upacara keagamaan selesai dijalankan mengikut kepercayaan Hindu.