PRESTASI dipamer juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuatkan banyak pihak bimbang apa lagi ketika mereka antara nama yang disebut-sebut berada dalam program Road to Gold.

Tidak dinafikan, gandingan berusia 26 dan 25 tahun itu sudahpun meraih pencapaian tinggi, pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan bergelar Juara Dunia 2022, namun harapan besar melihat mereka terus berjaya bagai menunggu buat tidak gugur.

Sememangnya pingat emas Sukan Olimpik pertama kita nantikan, terutamanya di Paris 2024 nanti, namun bagai menanti buah tak gugur, menjelang bermulanya kutipan mata kelayakan ke Olimpik Paris setakat ini, belum ada bayangan mereka mampu disandar harapan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia tahun lalu.

Dengan pencapaian terbaik 2023 setakat ini, naib juara Terbuka India, prestasi Aaron-Wooi Yik bagai tersasar jauh pada kempen jelajah Eropah.

Malah sikap mereka sebagai pemain berkelas dunia, tidak berani meletakkan sasaran pada setiap kejohanan disertai menunjukkan sebesar manakah sebenarnya jiwa mereka mahukan kejayaan.

Setiap kali diajukan pertanyaan ketika menyertai kejohanan yang meletakkan mereka selaku pilihan utama atau kedua, Aaron-Wooi Yik hanya memberi jawapan mahu fokus satu persatu perlawanan dan tiada sasaran yang jelas yang mereka berani suarakan untuk mereka kejar.

Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menganggap sikap sedemikian adalah satu sindrom yang melekat dalam pemikiran.

Chong Wei gesa pemain badminton negara ambil tanggungjawab terhadap prestasi diri, kerana bermain atas nama negara dan bukannya peribadi.

Bercakap mengenai pengalaman dirinya yang pernah menghuni ranking nombor satu dunia paling lama, 200 minggu berturut-turut, setiap kejohanan hendaklah ada sasarannya terutamanya apabila anda bergelar pemain berkelas dunia.

“Untuk saya, apabila jurulatih beritahu saya akan sertai kejohanan apa, paling kurang saya sasarkan masuk semifinal. Ini akan sentiasa berada dalam  otak saya.

“Saya tak nafikan saya pernah juga kalah di pusingan awal tapi amat kurang kerana saya tahu, saya bermain bukan untuk diri saya sahaja, tapi untuk negara,” kata Chong Wei.

Katanya, kejohanan akan sentiasa ada dan bila-bila masa pemain boleh sertai namun paling utama adalah konsisten.

Namun kebimbangan yang ketara terhadap Aaron dan Wooi Yik ketika ini adalah, mereka secara konsisten mempamerkan aksi tidak konsisten.

Chong Wei di puncak kegemilangan, suatu masa dahulu. -Sumber Instagram leechongweiofficial

Ulas Chong Wei, Malaysia memiliki jurulatih beregu terbaik dunia, Rexy Mainaky dan sememangnya memalukan apabila kita tidak memiliki pemain terbaik dunia.

“Apa yang pemain mahu sebenarnya. Setiap kejayaan yang datang, 90 peratus adalah datang dari diri sendiri. Ya betul selepas menang Kejuaraan Dunia, pemain lain akan fokus kepada permainan dia (Aaron-Wooi Yik) tapi dia tak ubah permainan memang susah.

“Saya pasti jurulatih sudah ubah tapi dalam gelanggang, semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri, mahu teruskan disiplin seperti ditetapkan jurulatih atau ubah corak permainan ikut citarasa sendiri. Hal ini Aaron dan Wooi Yik perlu sentiasa berbincang dalam gelanggang.”

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky pasti buntu memikirkan pemain senior yang seharusnya ke kejohanan dengan sasaran gelaran sebaliknya beraksi seperti pemain pelapis mencari pendedahan kejohanan.

Menurut beliau, komitmen dalam latihan amat penting kerana ia akan membawa kepada tabiat dalam gelanggang pada hari pertandingan.

Katanya, komitmen tinggi dalam latihan akan menjadikan setiap pemain bersedia, lalu dapat melahirkan keyakinan: “Saya berani sebut sasaran saya kerana saya yakin pada diri, saya tahu saya sudah lakukan persiapan terbaik, walaupun kondisi diri diragui.

“Contohnya pada 2014, ketika saya cedera buku lali sewaktu mempersiapkan diri ke Seluruh England. Begitu juga dengan 2017, walaupun saya diminta menarik diri kerana kecederaan saya lawan kerana saya tahu saya sudah melakukan persiapan terbaik meskipun sedar kondisi kaki belum pulih sepenuhnya.”

Ironinya, pada 2014 dan 2017, Chong Wei muncul juara Seluruh England, iaitu kejuaraan ketiga dan keempatnya selepas meraih gelaran pada 2010 dan 2011.

Meskipun diulit kecederaan, Dato’ Lee Chong Wei masih mampu meraih gelaran keempat Seluruh England pada 2017.

“Ini adalah tanggungjawab pemain, bukan apabila kita cakap sasaran kita pasti menang,  tetapi perlu yakin kerana kita juga tahu undian akan jumpa siapa.

“Setiap pemain yang akan saya jumpa, selain jurulatih dan penganalisa, saya sendiri akan buat kerja rumah, setiap pemain yang saya jumpa memerlukan taktikal berbeza jika saya mahu menang.

“Seperti lawan Lin Dan, dia memang lawan paling sukar di dunia tapi jika saya dijangka bertemunya, saya akan tersenyum kerana saya tahu ada peluang .”

Justeru, Chong Wei mahu Aaron-Wooi Yik lebih berani untuk menzahirkan sasaran mereka setiap kali mahu menyertai kejohanan, supaya mereka ingat apakah sasaran yang mereka perlu capai.

Ujar beliau, dengan menyatakan sasaran seharusnya menjadi motivasi kepada diri setiap atlet,: “Tidak perlu fikirkan orang nak kata kita berlagak, tak bukan macam itu. Tak kan kita nak letak sasaran kalah di pusingan pertama. Jika kita sasar ke separuh akhir tapi tidak berjaya, tak apa lah.

“Jadi saya rasa jika dia tidak nyatakan sasaran, mungkin dia tak yakin dengan diri sendiri… mengapa? Mungkin dia sendiri tahu persiapan dalam latihannya tidak cukup… tetapi kenapa tidak cukup, komitment macam mana yang dia beri dalam latihan?”.