VENUE ikonik Liverpool dan Manchester United, Anfield dan Old Trafford masing-masing gagal untuk masuk ke dalam senarai stadium untuk bidaan Euro 2028 dengan salah satu darinya tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh UEFA.

United Kingdom dan Republik Ireland telah melancarkan bidaan bersama untuk menganjurkan kejohanan berprestij UEFA itu yang dijadualkan berlangsung pada Jun hingga Julai 2028.

Turki yang sebelum ini gagal pada bidaan kejohanan 2012 dan 2016 adalah satu lagi negara yang melakukan bidaan untuk mendapatkan hak penganjuran kejohanan empat tahun sekali itu.

UK dan Ireland telah menyerahkan senarai 14 stadium yang disenarai pendek dalam bidaan pada 2022 termasuk Old Trafford namun Anfield tidak sempat disenaraikan kerana kesuntukan masa.

Stadium baharu Everton yang dalam pembinaan di Bramley-Moore Dock dan Casement Park di Belfast yang dibangunkan semula turut tersenarai dalam 14 stadium yang disenarai pendek itu.

Bagaimanapun, Old Trafford telah digugurkan bersama-sama dengan Stadium of Light, Stadium London dan Croke Park di Dublin dalam senarai akhir 10 stadium.

Menurut laporan, Eksekutif Manchester United tidak mahu berada dalam senarai bidaan selepas bermesyuarat dengan FA manakala Anfield pula tidak termasuk kerana didapati tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh UEFA.

Ini kerana syarat yang ditetapkan oleh UEFA adalah untuk semua kejohanan antarabangsa, saiz padang mestilah mempunyai ukuran 105 meter x 68 meter tetapi Anfield mempunyai padang sepanjang 101 meter dan tidak menepati syarat meskipun menepati syarat 68 meter lebar.

Liverpool tidak mampu untuk memanjangkan saiz padang ke 105 meter kerana jarak yang terlalu dekat dengan tempat duduk penyokong dan boleh mengundang risiko keselamatan dalam stadium.

Stadium Wembley yang menjadi hos perlawanan akhir Euro 2020 di mana England tewas kepada Itali menerusi penentuan penalti adalah stadium dengan kapasiti terbesar dalam senarai bidaan.

Stadium Principality di Cardiff yang mampu memuatkan 73,000 penyokong dan Stadium Tottenham Hotspur yang mempunyai 62,850 tempat duduk adalah dua lagi venue terbesar selepas Wembley dalam bidaan bersama ini.

UEFA dijangka akan mengumumkan siapakah antara Turkey dan UK dan Ireland yang akan memenangi bidaan sebagai hos pada September 2023.