PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi peringatan kepada semua bahawa pengadil adalah manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Ini selepas pelbagai kritikan dan persoalan yang ditimbulkan oleh jurulatih, pemain malah pakar bola sepak mengenai integriti dan kualiti pengadil malah ada yang menganggap ianya yang paling buruk yang pernah mereka lihat dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia yang bermula sejak Februari 2023.
Bagaimanapun, Hamidin juga mempersoalkan mengapa kritikan ini hanya datang dari mereka yang tewas dan kritikan berterusan terhadap pengadil ini akan menggangu pembangunan pengadil tempatan.
“Bukan mudah untuk menjadi pengadil yang dalam 10 minit mungkin melakukan keputusan yang tidak tepat dalam lima saat tetapi saya sudah bertemu mereka secara hati ke hati dan mereka mengatakan kesilapan mereka yang lima saat inilah yang diingati.
“Jika pengadil tidak menjalankan tugas dengan baik, kita ambil tindakan seperti sebelum ini tetapi apa yang penting kini adalah kita mahu melahirkan lebih banyak pengadil dan pada masa yang sama kita telah mengambil beberapa inisiatif seperti video bantuan pengadil (VAR).
“Tetapi dengan VAR juga masih banyak kontroversi berlaku seperti di Piala Dunia, Euro dan Liga Perdana Inggeris tetapi apa yang pelik adalah apabila pasukan mereka menang, mereka tidak membuat bising tetapi apabila kalah…,” katanya kepada media.
Sementara itu, Sistem Pengadil Professional Malaysia (MProRS) atau sebelum ini dikenali sebagai Pengadil Professional Malaysia (PMOM) dikatakan sedang dalam peringkat perancangan dimana sebelum ini ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19.
Pada Mac lalu, 10 pengadil kebangsaan telah terpilih untuk menyertai Bengkel ProReferee yang dianjurkan Unit Pengadil FAM sebagai sebahagian daripada keperluan MProRS.
Sepuluh pengadil itu adalah Mohd Izzul Fikri Kamaruzaan, Mohd Faizuddin Ismail, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah, Mohd Shahrizan Mohd Solihim, Mohd Khairulsyami Ahmad Khalidi , Mohd Usaid Jamal, Nazmi Nasaruddin, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin, Razlan Joffri Ali dan Zulkarnain Zakaria.