MANFAATKAN kejayaan dicapai Pearly Tan-M Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai pemangkin semangat untuk terus maju dalam badminton.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata, pemikiran positif akan membawa kepada kejayaan mana-mana pemain dan sikap ambil mudah serta menganggap tanggungjawab diserahkan kepada satu dua pemain perlu dibuang jaug-jauh.

“Ada cakap-cakap dalam pasukan, Pearly-Thinaah dah main macam ini, kita tak boleh dah.

“Bukan ini saya mahukan, saya nak semua pemain bangkit dengan lebih bersemangat kerana bukan hari ini latihan terus menjadi,” kata Rexy, ketika ditemui.

Rexy mahu pemain wanita mencontohi sikap Pearly Tan, bersemangat dan berkerja kuat baik dalam latihan mahupun gelanggang pertandingan

Rexy berkata, setiap atlet perlu bertanggungjawab ke atas kemajuan diri dan pencapaian setiap atlet berkelas dunia bukan hanya ditunjukkan dalam kemajuan di pertandingan malah kemajuan dalam latihan juga.

“Dalam latihan, pemain perlu ada peningkatan bukan sekadar hadir jalani latihan. Saya sering ingatkan bahawa sebagai jurulatih, saya hanya melatih mereka dan bukan membuatkan mereka lebih maju, sebaliknya diri mereka sendiri,” kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 itu.

Menurut Rexy, dia kembali melatih Malaysia bukan semata-mata mahu lahirkan satu dua pemain malah mahu mewujudkan ramai pemain yang berkelas dunia.

Usaha keras PEarly Tan-M Thinaah membuahkan hasil dan perlu diikuti pemain lain

Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, jika sesebuah negara mempunyai banyak beregu berkualiti sekalipun, akan tetap ada hanya satu yang terbaik.

Menurutnya, setiap kemajuan dibantu mentaliti seseorang atlet.

Katanya, dalam beregu lelaki, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani adalah gandingan kedua terbaik negara di bawah naungan BAM.

“Dari segi mentaliti, Izzuddin lebih baik berbanding Sze Fei, kerana dia mahu dan laparkan kejayaan. Sze Fei pula rasa selamat kerana menganggap ada Aaron dan Wooi Yik untuk harumkan nama Malaysia, sepatutnya dia juga ada perasaan untuk menjadi juara,” kata jurulatih dari Indonesia itu.

Keinginan, semangat dan usaha keras perlu bergerak seiring jika mahu mengecapi kejuaraan

Dalam pada itu, Rexy turut berterima kasih kepada bekas jurulatih negara Rosman Razak yang menyatukan gandingan Pearly-Thinaah.

Katanya, sikap positif pada Pearly dan Thinaah membuatkan mereka maju dari memenangi kejohanan kecil, berstatus Super 300 di Terbuka Switzerland hingga sekarang menang Super 750 di Terbuka Perancis.

Dia mendedahkan, semangat juang tinggi dalam diri Pearly paling berharga dalam meniti kejayaan.

“Dalam tempoh pemulihan dari kecederaan hamstring di Terbuka Jepun lalu, Pearly kerap meminta dan cuba meyakinkan saya yang dia sudah pulih dan mahu menjalani latihan di gelanggang. Saya minta dia bersabar dan jalani berlatih sendirian dahulu.

“Malah setiap kali latihan, Pearly juga sering memberitahu dia boleh lakukan lagi. Thinaah pon tidak ada semangat seperti Pearly. Saya sering memberitahu Thinaah mengapa dia juga perlu berusaha keras dalam latihan, kerana Pearly perlukan dia.

“Tak mungkin Pearly seorang melakukan smash mematikan dan bergerak ke depan, di kejohanan kecil mungkin boleh.

“Lihat sahaja sekarang, permainan Thinaah jgua sudah berbeza, dia mempunyai smash mematikan, serta permainan jaring yang jitu, jadi tidaklah apabila sampai di final, seorang pemain sudah keletihan dan seorang lagi masih cergas,” kata Rexy, mengharapkan aura juara pada Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik memberi impak positif kepada semua pemain beregu lain.