MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluangkan masa menziarahi legenda bola sepak negara dan bekas pemain Selangor Khalid Ali yang disahkan menghidap barah paru-paru di kediamannya di AU4 Keramat pada Sabtu.

Amirudin Shari tiba sekitar 9.45 malam, meluangkan masa lebih 30 minit bertanya khabar Khalid yang ditemani isterinya Siti Nurkhanah Mohamad Yatin.

“Bertepatan dengan semangat Syawal yang mengalakkan kita menziarahi sesama taulan, saya telah menziarahi Saudara Khalid Ali, bekas penyerang pasukan @selangorfc yang kini ditimpa ujian barah paru-paru.

“Sambil ditemani isteri beliau, saya memberi kata-kata semangat dan bertanyakan situasi terkini rawatan. Saya mendoakan agar Saudara Khalid Ali diberi kekuatan dan kesembuhan, Insya-Allah.

“Semoga kita sama-sama mendoakan beliau,” katanya menerusi Twitter.

 

Menerusi lawatan tersebut, Amirudin memberi kata-kata semangat dan mendoakan semoga Khalid diberi kesembuhan.

Awal Ramadan lalu, Khalid disahkan menghidap barah paru-paru tahap 3A dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Selayang.

Khalid yang juga pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan pernah mewakili pasukan bolasepak Selangor dari 1976 hingga 1985.

Pemain posisi tengah yang mewakili pasukan bolasepak Malaysia dari 1977 hingga 1985 antara tonggak utama membantu negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada 1980.