ACARA tahunan menjelang hari kemerdekaan, Speed Festival Merdeka Race 2024 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu ini, 31 Ogos dan 1 September.

Menurut Pengasas Merdeka Speed Festival (MSF), Adian Yein Khalid, lebih daripada 400 pelumba kereta dan superbike difahamkan bakal bersama memeriahkan acara kemerdekaan ini dan bersaing dalam pelbagai saingan perlumbaan yang dijadualkan.

Acara bermula pada malam Sabtu ini, MSF MegaLap Time Attack dari jam 7 malam hingga 11 malam, di mana para pelumba akan bersaing untuk mencatatkan masa terpantas di litar.

“Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan Petronas di dalam Perlumbaan Merdeka tahun ini. Perlumbaan Merdeka telah berkembang menjadi salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar perlumbaan tempatan untuk peminat kerana kepelbagaian kelas perlumbaan yang ditawarkan.

Adian Yein ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Merdeka Race 2024.

Perlumbaan diteruskan pada hari Ahad dengan acara MS Superbikes yang melibatkan 12 pusingan dalam enam kelas perlumbaan, diikuti dengan Piala MS Saga Merdeka 75, sebuah perlumbaan “mini enduro” selama 75 minit.

“Dengan sokongan Petronas, kami berharap dapat meningkatkan lagi pengalaman dan keterujaan ini untuk para peserta dan peminat perlumbaan bergerak ke hadapan,” ujar Pengasas MSF Adian Yein Khalid.

Sementara itu, kemuncak acara yang ditunggu adalah Perlumbaan Merdeka, yang melibatkan 340 pelumba dan 170 kereta dalam enam kelas perlumbaan berbeza, termasuk 99 pusingan di litar sepanjang 5.543 km.

Sejumlah RM50,000 hadiah wang tunai akan diberikan kepada pemenang teratas dalam setiap kelas, dengan hadiah tertinggi bernilai RM6,200 untuk juara dalam kelas Renplatz Standard Production dan Renplatz Standard Production Max.