NAMA yang tidak asing lagi dalam arena sukan permotoran, Raja Ariff Raja Azmi meletakkan hasrat dan keazaman tinggi terhadap pasukannya untuk menjuarai saingan Merdeka Race 2024 yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Kejuaraan yang bakal menghangatkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menghimpunkan sebanyak 170 buah kereta, di mana masing-masing akan bertarung mental dan fizikal mengharungi 99 pusingan perlumbaan (lebih kurang lima jam).

Menurut Raja Ariff yang menyandang tempat ketiga pada perlumbaan Merdeka musim lalu, kejuaraan tahun ini amat penting untuk dirinya mengembalikan trofi buat Malaysia kerana beraksi ketika ambang kemerdekaan sendiri.

Kereta lumba yang ditayangkan di Gamuda Cove pada Selasa.

Pelumba muda itu berkata demikian kerana dia akui cabaran yang bakal dihadapi terutama daripada pelumba Singapura yang lebih hebat dan berkualiti dalam corak perlumbaannya sekali gus menjadi juara Merdeka Race tahun lalu.

“Mereka (Singapura) memang mendahului kita (Malaysia) daripada segi kereta mereka dan bajet pasukan.

“Walau bagaimanapun, tahun ini kita memang sasar untuk juara selepas duduki tempat ketiga secara keseluruhan musim lalu. Kita nak rampas semula trofi dari Singapura dan bawa ke dakapan Malaysia.

Superbike yang mungkin bakal digunakan semasa Merdeka Race 2024.

“Jadi saya tegaskan di sini, Merdeka Race tahun ini sangat penting. Kita orang Malaysia semestinya mahu menang dalam perlumbaan Merdeka kami sendiri. Kini kita punyai semangat untuk baharu untuk mulakan perlumbaan dengan baik nanti,” ujar Raja Ariff ketika ditemui di Gamuda Cove pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Raja Ariff yang memandu kereta lumba Toyota GT 86 turut mendedahkan bahawa persiapan pasukannya kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi 340 pelumba yang akan bersama-sama berentap di SIC nanti.

“Kami melakukan persiapan rapi tahun ini, kami bekerja keras dan ia melihatkan betapa kami mahu kemenangan untuk Malaysia tahun ini,” tambahnya.