BEKAS kapten skuad bola sepak negara, Norhafiz Zamani Misbah menaruh harapan penuh terhadap skuad kebangsaan untuk mengambil peluang di Piala Asia Qatar 2024 sebagai satu titik tolak untuk membuktikan kekuatan pasukan Malaysia.
Pemain berusia 42 tahun itu jelas melihat perubahan dalam bola sepak Malaysia apabila skuad Harimau Malaya kini sudah mempunyai momentum dan kekuatan yang padu tambah pula dengan bantuan Liga Malaysia yang semakin berkualiti, hal itu dijadikan faktor utama skuad kebangsaan kini semakin cemerlang.
“Bila dibandingkan bola sepak ketika zaman saya dan sekarang, mutu bola sepak zaman sekarang memang dah terbaik. Kita ada pemain-pemain yang bagus, bakat pemain muda yang hebat dan juga dibantu oleh pemain naturalisasi.
“Yang bagusnya, tahap liga bola sepak kita pun semakin baik kerana menggunakan import yang bagus, oleh itu mutu bola sepak kita pun bertambah baik tambah lagi dengan air tangan ketua jurulatih, Kim Pan-Gon yang kita tahu dia mempunyai keputusan yang bijak dalam mana-mana perkara,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Dalam masa yang sama, Zamani turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain yang akan beraksi di pentas Piala Asia bermula 12 Januari sehingga 10 Februari 2024.
“Bagi sesiapa sahaja yang diturunkan dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan, mereka semua memainkan peranan sangat penting.
“Mereka membawa maruah negara dan ini adalah masanya untuk membuat satu sejarah. Kita bukanlah seperti mahukan gelaran juara Piala Asia tetapi sejauh mana mereka boleh buktikan bahawa negara kita boleh bersaing bersama negara-negara Asia lain.
“Semestinya kita tidak boleh memandang rendah terhadap pasukan lawan dan kita juga jangan terlalu hormat kepada mereka. Jadi kita buat sahaja cara kita cuma perlu dispilin dengan taktikal dan segalanya,” katanya.
Sebagai rekod, Norhafiz yang pernah mengetuai pasukan Malaysia lebih sedekad lepas dalam aksi kedua Kumpulan C, Piala Asia 2007 bertemu Uzbekistan, namun tewas 0-5 di Stadium Bukit Jalil.