KETUA  jurulatih skuad B-23 negara Brad Maloney tetap memberi pujian terhadap persembahan pemainnya walaupun tumpas 1-4 kepada Republik Korea dalam aksi pembukaan Piala Asia Bawah 23 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan.

Biarpun tewas, Maloney tetap berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan terutama pada separuh masa pertama meskipun melakukan kesilapan yang mengundang kekalahan yang lebih besar pada akhir separuh masa kedua.

“Kami sudah menjangkakan perlawanan yang sukar apabila bertemu dengan juara bertahan yang mana mereka benar-benar memberi kesukaran kepada kami untuk beraksi dengan baik.

“Tetapi saya tetap berbangga dengan persembahan pemain saya yang tidak pernah mengaku kalah hingga berjaya mendapat satu gol dan kemudian terus cuba menekan untuk mencari gol penyamaan.

“Kami sangat berdisiplin pada separuh masa pertama hingga menyukarkan lawan untuk mendapatkan gol. Namun di separuh masa kedua kami bermain dengan lebih terbuka untuk menyamakan kedudukan tetapi beberapa kesilapan telah mengundang padah buat kami.

“Keputusan ini tidak menggambarkan prestasi keseluruhan pasukan kami dan ini terjadi apabila kita menentang pasukan yang bagus” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan, Thailand dan Vietnam seri 2-2 sekaligus menyaksikan Malaysia di tangga terbawah Kumpulan C selepas satu perlawanan dan akan bertemu Thailand pada 5 Jun nanti.