JURULATIH skuad kebangsaan, Kim Pan-gon teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokong tempatan terutama Ultras Malaya dan tidak sesekali akan menyalahkan pemainnya secara individu.

Pan-gon juga gembira dengan persembahan anak-anak buahnya yang memberikan aksi positif meskipun menghadapi perlawanan yang sukar dan yakin Malaysia akan menampilkan permainan yang lebih menarik jika mendapat lawan yang lebih sukar.

“Perlawanan ini adalah sukar dan saya menghargai apa yang para pemain telah berikan dalam tujuh hari di kem latihan. Mereka berlatih umpama anjing dan berlari seperti kuda. Saya tidak akan merungut tentang pemain saya apabila mereka memberi 100 peratus.

“Kami melakukan pertukaran formasi bergantung kepada taktikal pihak lawan. Para pemain juga dilihat pantas mengadaptasi dan masih mampu menunjukkan karektor yang sama. Kami mahu mengawal perlawanan dan cuba mewujudkan DNA Malaysia.

“Saya tidak mahu bercakap tentang individu. Ianya semua adalah kerja berpasukan dan kesemua mereka bekerja keras. Kesilapan adalah perkara biasa malah pemain terbaik dunia turut melakukan kesilapan dan segala analisis pemain hanyalah untuk kegunaan pasukan teknikal dan bukannya untuk semua pihak.

“Jangan menyerang individu jika anda adalah seorang penyokong sejati. Pasukan kita perlu kekal bersatu. Penyokong, media dan seluruh negara perlu bersatu dan membawa semangat yang baik buat Malaysia,” kongsi Pan-gon ketika sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Korea Selatan ini  juga sekali lagi menyeru para penyokong agar terus menyokong dan kekal bersatu walaupun skuad kebangsaan tidak dapat menjanjikan kemenangan dalam semua permainan yang ditempuh.

“Ianya adalah sokongan yang menakjubkan terutama dari Ultras Malaya. Kami gembira apabila penyokong hadir memberikan sokongan kepada kami. Kami boleh memberikan persembahan yang lebih baik jika kita menentang lawan yang lebih tinggi kualitinya.

Malaysia kini akan berhadapan Hong Kong pada Rabu dalam satu lagi aksi persahabatan sebelum bermulanya kempen Kelayakan Akhir Piala Asia awal bulan depan.