Foto: PDRM FC
KEKALAHAN kelapan dialami PDRM FC dalam saingan Liga Premier pada Sabtu malam membuktikan pasukan itu tidak bersedia bersaing dalam saingan kompetitif.
Jurulatihnya, Jamadi Razak berkata, banyak perlu dipelajari pemainnya mengenai bola sepak.
“Setelah dua tiga hari bersama pemain, saya boleh katakan mereka perlu banyak belajar mengenai apa itu bola sepak. Konsistensi dalam permainan tiada malah ketahanan dan kelajuan juga tidak mencapai tahap yang saya mahukan,” katanya.
Skuad Sang Saka Biru itu kini menghuni tangga keenam liga selepas tewas 0-1 kepada Skuad Projek FAM-MSN.
Justeru, nada Jamadi kedengaran agak kecewa apabila menyatakan banyak kerja perlu dilakukannya memperbaiki pasukan yang banyak melakukan kesilapan.
“Perlawanan terakhir menentang UiTM , saya akan set up pemain berbeza, saya dah kenalpasti pemain yang tidak konsisten.
“Mereka tidak berpengalaman dalam perlawanan bertempo tinggi. Mereka kaku apabila berada di tekan, kaku apabila dalam situasi satu lawan satu,” katanya lagi.
PDRM FC kini mengumpul 21 mata, diikuti UiTM di tangga ketujuh dengan 17 mata, PKNS FA, Projek FAM-MSN dan Perak dengan masing-masing mengumpul 13, 8, dan tujuh mata.