PEMAIN badminton negara tidak obses pada kejayaan, menjadikan prestasi mereka terumbang-ambing di pentas antarabangsa, biarpun pernah mencapai kejayaan tahap tertinggi sebelum ini.
Ketika semuanya sudah tersedia, kemudahan latihan bertaraf antarabangsa, perkhidmatan sokongan dari segenap aspek termasuk sains sukan sudah di beri, kepakaran jurulatih berkelas dunia, namun nampaknya prestasi pemain senior semakin merudum.
Hal itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai yang mengakui bahawa pemain generasi sekarang berbeza dengan zaman sebelum ini.
“Pemain bercita-cita tinggi, sentiasa mahukan gelaran, namun perkara yang tidak ada dalam diri mereka sekarang ini ialah obses pada kejayaan,” katanya, ketika ditemui media di ABM.
Menguas lanjut, Michelle berkata, atlet zaman sekarang juga tidak boleh dibandingkan dengan legenda seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Azizulhasni Awang yang lahir dari generasi berbeza.
“Mereka adalah ‘baka’ yang berbeza, generasi yang sangat taksub pada kejayaan, yang mahukan kejayaan sebagai legasi. Generasi sekarang hanya menganggap bermain badminton sebagai kerjaya, hanya mahu dapatkan gaji.
“Saya tidak fikir Chong Wei, Azizulhasni memikirkan soal mengejar wang ringgit, tapi untuk membolehkan mereka sentiasa dikenang sepanjang zaman, mereka mahu mencipta,” ujarnya.
Michelle yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran sukan di pentas antarabangsa berkata, wang ringgit tidak mampu membeli kejayaan dan seseorang atlet jika hanya memikirkan ke arah itu (wang ringgit) pasti akan berdepan masalah.
“Persoalannya sekarang dalam badminton, adakah mereka ingin mengejar wang ringgit atau menjadi pemain terbaik sepanjang zaman di Malaysia.
“Alasan demi alasan diberi, permintaan demi permintaan menjadi syarat untuk mendapatkan kejayaan. Selepas semuanya dipenuhi, keputusan yang sama dihasilkan.
“Sepatutnya pemain badminton negara harus mempunyai perasaan bersalah pada diri sendiri jika gagal menepati sasaran yang ditetapkan. Tidak perlu mahu rasa bersalah terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau orang lain. Mereka patut rasa bersalah kerana boleh buat (cipta kejayaan) kerana Tuhan sudah memberikan bakat kepada mereka.
“Ini adalah soal keadilan, anda yang harus rasa bersalah kepada diri sendiri, bukan bersalah kepada rakyat atau kami (ABM). Jika tidak ada perasaan bersalah kepada diri sendiri, hendak lakukan apa sahaja pun sentiasa terbatas,” katanya.