SRI Pahang FC akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini apabila berjaya menewaskan Penang FC 3-1 dalam aksi di Stadium Darulmakmur.
Tiga jaringan menerusi Azam Azih, David Rowley dan Sean Gianelli berjaya meredakan tekanan yang dialami skuad Sri Pahang sekaligus menambah tekanan kepada Penang FC yang masih tercari-cari kemenangan sulung.
Sri Pahang bermain dengan corak permainan pantas dan dilihat berjaya menguasai barisan tengah dan menghukum Penang FC yang turun tanpa beberapa tonggak ekoran kecederaan.
Menerusi kemenangan ini, Sri Pahang berjaya naik ke tangga kesembilan liga dengan empat mata sementara Penang FC terhumban ke dasar liga dengan tiga mata dari enam perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sarawak United FC juga berjaya merakam kemenangan sulung selepas menewaskan skuad lokal, PJ City FC 3-1.
46′ GOL | Francis Kone menanduk masuk hantaran lintang Nur Shamie Iszuan untuk gol kedua Sarawak United!@pjcityfc 0-2 @sufc_rasmi #LigaSuper2022 pic.twitter.com/b2bmPj8VZb
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) April 23, 2022
Dua jaringan dari Francis Kone dan satu dari Boris Kok sudah cukup untuk memberikan anak buah B.Sathianathan tiga mata berharga sekaligus dapat menarik nafas lega selepas gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini.
Gol tunggal PJ City dijaringkan oleh Kogileswaran Raj pada minit ke-75 tetapi tidak gagal untuk melakukan kebangkitan sebaliknya terpaksa menelan kekecewaan tewas pertama kali di laman sendiri.
Hasil keputusan ini, PJ City kini ditangga keenam dengan tujuh mata dari enam perlawanan manakala Sarawak United masih di dalam zon penyingkiran di tangga kesebelas dari 12 pasukan yang bertanding.
Dalam pertandingan Liga Premier pula, JDT II berjaya menewaskan pasukan bermasalah Perak FC 3-1 di Ipoh manakala UiTM FC tewas kepada Kelantan United 2-1 dan Skuad Projek FAM-MSN kalah kepada Kuching City FC 4-0 dalam aksi di Kuching.
Keputusan itu melonjakkan JDT II ketangga teratas liga manakala Kelantan United ketiga dan Kuching City keempat. UiTM dan Perak kekal di dua tangga terbawah liga.