KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard masih tidak mempercayai bahawa pasukan di bawah pengurusannya berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC.

Setelah menyertai kelab sebagai CEO pada November 2020, dia telah melakukan tugasan yang cemerlang apabila KL City berjaya layak ke final sebanyak dua kali bermula dengan final Piala Malaysia 2021.

Bukan hanya layak ke final, KL City turut merangkul gelaran juara Piala Malaysia selepas 32 tahun dengan mengenepikan cabaran pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue.

Stanley Bernard

 

Stanley yang sedar tentang kekuatan kelab dan kekangan kewangan yang dihadapinya berbanding pasukan lain di Liga Super, kekal realistik apabila ditanya pada awal musim tentang peluang KL City apabila bertanding di Piala AFC

Dengan bajet yang terhad, dia dan barisan kejurulatihan diketuai Bojan Hodak serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Khalid Samad berjaya membuat transformasi kepada kelab warga kota ini hingga kini beraksi di pentas final kejohanan tier kedua kelab Asia.

“Saya gembira dengan pencapaian KL City sejak musim lalu dan kami berjaya buktikan bahawa kelab ini mampu bersaing meskipun tidak mempunyai dukungan kewangan yang kukuh tetapi kami mempunyai pemain yang mahu bermain untuk kelab.

Sebahagian daripada lebih 27,000 penyokong KL City

“Ucapan jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada lebih 27,000 penyokong KL City yang hadir pada malam ini dan ianya sangat membuatkan saya terharu dengan sambutan yang diberikan.

“Apabila jualan tiket dalam talian mencecah 10,000 keping dalam masa dua hari jualan, ketika itu saya dan barisan pengurusan yakin bahawa kelab ini kembali mendapat sokongan dan berharap ianya dapat dikekalkan pada setiap perlawanan.

“Meskipun tewas di final tetapi saya tidak kecewa kerana sejak dari awal kami bersikap realistik dalam meletakkan sasaran dan kini kami berjaya mencipta sejarah buat kelab apabila maju sejauh ini,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN ketika ditemui selepas perlawanan akhir.

Turut berkongsi nada yang sama dengan Stanley adalah Khalid Samad dan Bojan Hodak yang berjaya membuktikan bahawa jika sesuatu kelab itu ditadbir dengan baik, kejayaan pasti akan hadir.