LIONEL Messi dijangka memadamkan rekod gaji paling tinggi didunia yang diraih Cristiano Ronaldo awal bulan ini jika pemain Paris Saint-Germain bersetuju menyertai kelab Arab Saudi, Al Hilal.

Sebelum ini rekod terbabit dipegang Ronalda setelah bersetuju menerima 173 juta pound (RM915 juta) setahun untuk menyertai Al Nassr namun Messi ditawarkan kontrak mega 245 juta pound (RM1.29 bilion) setahun jika menyertai Al Hilal.

Kelab Arab Saudi itu adalah musuh ketat kelab Ronaldo, Al Nassr dengan kedua-duanya terbabit dengan ‘derby’ Riyadh setiap tahun.

Jika menjadi kenyataan, Messi bakal mendapat 70 juta pound (RM370 juta) lebih daripada diraih Ronaldo setiap tahun.

Al Hilal kini menduduki tangga ketiga Liga Pro Arab Saudi, tiga mata di belakang pendahulu Al Nassr.

Kapten Argentina berusia 35 tahun itu akan tamat kontrak di Paris Saint-Germain pada musim panas tetapi laporan mendakwa dia mencapai persetujuan lisan dengan juara Ligue 1 itu untuk kekal di ibu kota Perancis.