LIONEL Messi ‘diejek’ Pegawai Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, dengan mengangkat enam jari ketika La Pulga masuk pada minit ke-83 semasa Inter Miami ketinggalan 0-6 kepada Al Nassr, awal pagi Jumaat.
Messi masuk sebagai pemain gantian ketika Inter Miami dibantai 0-6 oleh Al Nassr yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo di Stadium Kingdom Arena, Riyadh.
Ketika Messi memasuki padang, seorang pegawai Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, dirakam kamera mengangkat enam jari, didakwa mengejek La Pulga, yang baru masuk ketika pasukannya dibolosi setengah dozen gol oleh Al Nassr.
Foto dan video yang merakam detik Turki Al-Sheikh mengangkat enam jari ketika Messi masuk ke padang menjadi viral di media sosial.
Turki Al-Sheikh ialah rakan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang berkhidmat sebagai penasihat di Istana Diraja Arab Saudi dan Ketua Penguasa Hiburan Am Arab Saudi.
Dalam perlawanan ini, Turki Al-Sheikh turut duduk di tempat duduk bersama Ronaldo, yang tidak dapat bermain untuk Al Nassr kerana kecederaan.
Al Nassr hanya memerlukan 12 minit untuk mendahului Inter Miami 3-0 menerusi jaringan Otavio pada minit ketiga, Anderson Talisca pada minit ke-10, dan sepakan roket Aymeric Laporte dari jarak 70 meter pada minit ke-12. Al Nassr mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, Al Nassr berjaya menambah tiga gol menerusi sepakan penalti Talisca pada minit ke-51, Mohammed Maran pada minit ke-68, dan Talisca yang mencatatkan gol ketiga atau hatrik pada minit ke-73.
Ketika Inter Miami ketinggalan 0-6, jurulatih Gerardo Martino hanya menurunkan pemain utama mereka, Lionel Messi.
Messi masuk pada minit ke-83 untuk menggantikan Leonardo Campana. Cuma, ketika La Pulga masuk, dia kelihatan menunjukkan riak wajah kurang senang kerana bermain ketika pasukannya ketinggalan 0-6.