LIONEL Messi secara rasmi memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Argentina dalam sejarah Piala Dunia selepas menjaringkan gol pertama menentang Croatia, sebentar tadi.

Messi menjaringkan gol ketika menentang Croatia pada minit ke-34. Sepakan penalti Messi padu menerjah jaring walaupun penjaga gol Dominik Livakovic telah meneka arah bola dengan betul.

Gol tambahan menentang Croatia bermakna Messi telah menjaringkan 11 gol dalam Piala Dunia. Rekod 11 gol itu menjadikan Messi secara rasmi mengatasi Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Argentina dalam Piala Dunia.

Batistuta sebelum ini memegang rekod dengan menjaringkan 10 gol dalam tiga penampilan di Piala Dunia iaitu pada 1994, 1998 dan 2002.

Selain melepasi rekod Batistuta, 11 gol Messi telah meletakkan dirinya setaraf dengan legenda Hungary, Sandor Kocsis dan legenda Jerman, Jurgen Klinsmann.

Daripada jumlah jaringan, penampilan Messi di Piala Dunia 2022 itu sendiri boleh dikatakan prestasi terbaik Messi jika dibandingkan dengan empat edisi Piala Dunia yang disertainya.

Sebelum ini rekod terbaik Messi ialah Piala Dunia 2014 apabila menjaringkan empat gol dan membawa Argentina ke final Piala Dunia. Ketika itu Messi terpaksa tunduk kerana Argentina tewas 0-1 kepada Jerman pada perlawanan akhir.

Piala Dunia 2022 dikatakan sebagai Piala Dunia terakhir dalam karier Messi. Trofi Piala Dunia adalah satu-satunya trofi utama yang masih belum dimenangi Messi dalam kariernya.

Trofi Piala Dunia akan melengkapkan kerjaya Messi yang cemerlang dengan pelbagai gelaran, trofi dan anugerah.