PERMULAAN mempesonakan Lionel Messi di Amerika Syarikat (AS) berterusan apabila dia telah menjaringkan gol buat kali kelapan dalam lima perlawanan untuk Inter Miami ketika Herons menewaskan Charlotte FC, 4-0, dalam aksi suku akhir Piala Liga.
Pemain Argentina berusia 36 tahun itu, yang masih belum tewas sejak ketibaannya di Florida Selatan bulan lalu, menjaringkan gol terakhir Miami pada minit ke-86 untuk membawa pasukannya ke pusingan separuh akhir pertandingan piala domestik AS.
Dalam aksi itu, Josef Martinez membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-12 di Fort Lauderdale sebelum Robert Taylor, yang menikmati sedikit kebangkitan prestasi sejak bermain bersama Messi, menambah gol kedua pada minit ke-32.
Pemain Charlotte, Adilson Malanda menjaringkan gol sendiri pada minit ke-78 sebelum juara Piala Dunia tahun lalu itu akhirnya menjaringkan gol berselang lapan minit kemudian.
Sejak ketibaan Messi menjadi fenomena, pemilik kelab, David Beckham telah berjaya mengubah nasib pasukan itu jauh berbeza dengan kehidupan penyokong Inter Miami sebelum era Messi bermula.
Sebelum Messi, Inter Miami sekadar memenangi lima daripada 22 perlawanan MLS musim ini di bawah pengurus Phil Neville ketika itu.
Namun selepas ketibaan Messi, Inter Miami telah memenangi semua perlawanan Piala Liganya, dan kini hanya dua kemenangan untuk meraih sebuah trofi.
Apatah lagi pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu masih belum bermain seminit aksi MLS kerana pasukannya mengharungi saingan piala domestik AS.
Messi dijangka membuat penampilan sulung liganya bertemu New York Red Bulls pada 25 Ogos ini.- Agensi